HomeBeritaMedia bantu agenda APM, pertahanan berorientasi rakyat

Media bantu agenda APM, pertahanan berorientasi rakyat

KAJANG: Media berperanan sebagai wacana paling mustahak meneruskan agenda Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebagai pertahanan berorientasikan komuniti.

Usaha ini bagi menyuntik kefahaman rakyat yang masih keliru tentang fungsi dan peranan sebenar APM yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2023 dan seterusnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, APM mahu fokus agenda merakyatkan peranan dan fungsi APM sebagaimana termaktub mengikut Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Akta 221).

“APM terasnya adalah pertahanan berorientasi rakyat atau komuniti, jadi untuk menjayakan agenda ini media berperanan membantu menyuntik kefahaman rakyat tentang APM atau RELA atau bomba (JBPM).

“Kedua, pengurusan bencana, ketiga memperkukuhkan organisasi APM dan juga kemahiran keupayaan anggota dengan menambahbaik skim perkhidmatan dan aset,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat APM, di Sungai Merab, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah APM, KPj (PA) Datuk Azmy Yahya.

Armizan berkata, pendedahan secara berterusan melalui media juga membantu APM meningkatkan kesiapsiagaan membantu negara berdepan ancaman global yang dijangka lebih ekstrim berkaitan cuaca dan perubahan iklim akan datang berdasarkan laporan digariskan World Economy Global Risk Report pada 2002.

“Ini ancaman global, jadi kita perlu tingkatkan kesiapsiagaan pengurusan bencana kita.

“Kembali kepada yang paling asas bahawa APM berorientasikan rakyat dan ini memerlukan kebersamaan dan penyertaan daripada rakyat bagi memastikan kefahaman terhadap APM melonjak,” katanya.

Beliau juga berkata, APM juga sentiasa berusaha menambah baik aset sistem pelaporan dari aspek komunikasi terutama di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Aspek komunikasi antara aspek yang kita ambil kira, jadi keperluan untuk meningkatkan aset ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Untuk rekod, APM diwujudkan sejak tahun 1951, dan APM telah merangka strategi tempoh 10 tahun ke hadapan menerusi Dekad Platinum Pertahanan Awam (2022-2032).

Author

Pilihan Editor