HomeBeritaZahid, Lembaga Disiplin UMNO akan terus pantau 10 MP 'broker' PN

Zahid, Lembaga Disiplin UMNO akan terus pantau 10 MP ‘broker’ PN

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan beliau bersama-sama dengan Lembaga Disiplin parti akan terus memantau 10 Ahli Parlimen yang dikatakan ‘broker’ PN.

Semalam, Zahid mendedahkan dalam taklimat khas senarai 10 Ahli Parlimen BN termasuk UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Zahid ketika ditanya adakah akan diambil tindakan ke atas 10 ahli Parlimen tersebut, jawabnya beliau telah memaafkan apa yang telah berlaku itu.

“Saya mengambil pendirian bahawa kesemua 10 ahli Parlimen itu terdiri daripada ahli Parlimen UMNO dan BN. Peristiwa itu berlaku dalam usaha pembentukan kerajaan ketika itu di mana tidak ada mana-mana parti gabungan yang mempunyai kelayakan untuk melepasi 50 peratus jumlah kerusi Parlimen.

“Tentulah ketika itu usaha telah dijalankan untuk 10 ahli Parlimen ini menarik balik surat sokongan dengan melakukan ‘revocation of SD’, ertinya membuat surat akuan sumpah untuk ditarik balik.

“Oleh kerana perkara itu telah berlalu dan kini mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, saya menyatakan bahawa saya telah memaafkan apa yang telah berlaku itu tetapi saya akan terus bersama-sama dengan Lembaga Disiplin melakukan pemantauan terhadap pendirian yang ada sekarang.

“Dan juga sama ada mereka melakukan mana-mana gerakan atau ‘move’, tetapi saya yakin mereka akan tetap bersama-sama dengan UMNO dan BN dalam mendokong Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang,” katanya.

Zahid berkata demikian kepada pihak media selepas merasmikan ‘booth’ pameran Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKWD) di Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur pada Khamis.

Kata Zahid, beliau yakin kesilapan langkah dulu itu adalah kerana situasi ketika itu tidak menentu, maka pendedahan yang beliau buat dalam Majlis Taklimat Presiden itu adalah pendedahan tertutup untuk beliau berkongsi maklumat.

“Kerana mereka harus tahu apa yang berlaku di sebalik penubuhan Kerajaan Perpaduan dan oleh kerana kita harus bergerak ke hadapan, kita harus ‘move forward’, maka yang terbaik ialah bagi kita untuk menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran,” kata Zahid lagi.

Author

Pilihan Editor