HomeBeritaMendiang Cospermas Gugkang 'gentleman' sejati, derma mata bantu insan memerlukan

Mendiang Cospermas Gugkang ‘gentleman’ sejati, derma mata bantu insan memerlukan

CYBERJAYA: Meskipun sedih atas kehilangan insan tersayang, ahli keluarga mendiang, Cospermas Gugkang (1985-2023), tetap bermurah hati mendermakan sepasang kornea (mata) bagi tujuan transplan kepada pesakit yang memerlukan.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan, mendiang Cospermas, 38, disahkan meninggal dunia melalui pengesahan ujian mati otak di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut JKNS, mendiang merupakan seorang penderma budiman yang berjaya menyelamatkan dua orang penerima transplan dan kini kedua penerima itu stabil dan dalam proses pemulihan.

“Pembedahan transplan kornea yang disumbangkan ini juga telah berjaya dijalankan ke atas dua orang penerima transplan masing-masing pada 10 dan 11 Januari 2023 di Hospital Queen Elizabeth.

“JKNS ingin mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada keluarga penderma kerana memberikan sebuah sinar harapan baru kepada pesakit yang memerlukan melalui anugerah kehidupan ini.

“Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini,” kata JKNS menerusi kenyataan media.

Dalam pada itu, JKNS turut berharap lebih ramai masyarakat tampil mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera untuk membantu pesakit-pesakit yang memerlukannya.

Author

Pilihan Editor