HomeHiburan‘Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir’ di Zepp KL, 24 Feb ini

‘Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir’ di Zepp KL, 24 Feb ini

 

CYBERJAYA: Khabar gembira buat peminat di Malaysia! Kumpulan band popular dari Indonesia, Kerispatih akan mengadakan sebuah konsert berjudul ‘Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir’ pada 24 Februari depan.

Konsert yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu bukan sahaja menggandingkan gabungan semula Kerispatih bersama bekas vokalis kumpulan tersebut, Sammy Simorangkir malah, turut dibawa khas buat peminat iaitu Fandy Santoso.

Konsert itu dijadual berlangsung selama dua jam dengan persembahan lebih 20 lagu itu merupakan anjuran bersama oleh tiga pengajur iaitu 4ward, Tiger Wong Entertainment dan MHT Live.

Kerispatih bersama pihak penganjur ketika sesi sidang media KERISPATIH X SAMMY SIMORANGKIR baru-baru ini.

“Jujurnya, kami sudah lama menanti kesempatan untuk kembali menyapa penggemar di Malaysia. Kangenlah pasti, apalagi penggemar di Malaysia adalah antara pendukung terbesar kami.

“Mengambil semangat judul konsert ini, kami sangat ingin berbagi nostalgia dan momen terbaik kepada semua. Akan ada belasan lagu yang dipersembahkan nanti.

“Ia pasti akan menjadi pertemuan perdana di tahun 2023 yang manis untuk dikenang dan diharap akan membuka lebih banyak pintu kami beraksi di sini pada masa akan datang,” ujar Kerispatih dalam sidang media baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif 4ward, Nashrul Nasir berkata, kolaborasi antara tiga penganjur bagi menjayakan ‘Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir’ itu merupakan satu permulaan baik buat pihaknya menuju lebih banyak kerjasama dengan produksi dari Indonesia.

“Sebagai penganjur tempatan kami berbangga kerana dapat membawa Kerispatih dan Sammy Simorangkir yang sudah mencetak nama serta pengaruh kembali ke Malaysia setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke sini.

“Dan di masa depan, 4ward akan membawa lebih banyak persembahan bertaraf mega untuk penggemar di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Tiger Wong Entertainment, Baim Wong, melahirkan rasa sangat berbesar hati membawakan Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir kepada peminat di Malaysia.

“Mengapa konsert ini diberi judul Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir adalah kerana kami percaya setiap penggemar mereka mempunyai momen atau nostalgia tersendiri dengan lagu lagu mereka.

“Besar harapan kami konsert ini kelak sukses diselenggara dan mencapai objektif iaitu membayar kerinduan dan membangkit nostalgia lampau sekaligus mengukir momen baharu buat semua,” ujarnya.

Justeru, bagi anda yang berminat untuk hadir ke konsert berkenaan kini boleh membuat pembelian tiket melalui atas talian di laman sesawang https://momentsofkerispatih.com/ .

Tiket tiket konsert Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir mula dijual pada harga RM255 (Cat 1- Festival : free standing), RM355 (Cat 2: VIP upper deck-premium seat), RM305 (Cat 3- VIP upper deck- normal seat), Diamond (seating) RM555 dan RM4,800 (VIP box).

Para pembeli VIP Box (maksimum 8 orang per box) akan berkesempatan untuk sesi Meet and Greet serta disediakan malam malam secara buffet. Pembeli VIP Box juga akan menerima official lanyard, minuman percuma serta laluan VIP ke bilik masing-masing.

Segala informasi terkini boleh didapatkan di laman sosial Instagram:@momentsof.music.

Untuk rekod, Kerispatih pertama kali mencipta nama dan meledak lewat debut berjudul Kejujuran Hati pada 2005.

Antara lagu yang seringkali menjadi siulan ramai adalah Tapi Bukan Aku, Bila Rasaku Ini Rasamu dan Demi Cinta.

 

Author

Pilihan Editor