HomeBeritaPengusaha roti canai 'Transfer Road' janji takkan ulangi kesilapan

Pengusaha roti canai ‘Transfer Road’ janji takkan ulangi kesilapan

GEORGE TOWN: Pengusaha roti canai di Jalan Transfer di sini berjanji tidak akan mengulangi kesilapan selepas diarah tutup operasi sementara pada 2 Januari lalu kerana gagal menepati piawaian kebersihan.

Shahjahan Abdul Hamid, 51, berkata, meskipun terpalit de­ngan video tular dan tindakan penutupan operasi minggu lalu, gerai yang hampir berusia 90 tahun itu masih menerima kunjungan orang ramai.

Katanya, kira-kira 70 peratus pelanggan tempatan termasuk dari luar Pulau Pinang hadir ke gerai berkenaan sejak dibuka semula Selasa lalu.

“Janji tak akan buat silap lagi.

“Alhamdulillah, pelanggan tetap dan baharu masih datang untuk menikmati roti canai warisan.

“Walaupun hanya 30 peratus pelanggan berkurang, namun ia langsung tidak menjejaskan perniagaan kami ketika ini,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Tambah Shahjahan, kebiasaannya kira-kira 800 keping roti canai akan habis dijual setiap Sabtu dan Ahad, manakala hari biasa sebanyak 300 keping.

Mengulas mengenai nasib penebar roti canainya yang tular di media sosial baru-baru ini, Shahjahan berkata, lelaki berusia 67 tahun itu telah dinasihatkan supaya berehat.

“Pekerja warga emas warga tempatan itu sudah 40 tahun berkhidmat sebagai penebar roti canai di sini dan saya merasakan sudah tiba masanya dia berehat.

“Setiap orang tidak lari daripada kesilapan atau kecuaian. Saya sekali lagi memohon maaf kepada para pelanggan,” katanya.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan premis berkenaan diarah tutup operasi sementara selama dua minggu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas pemiliknya gagal menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.

Perkara itu susulan tular satu video di media sosial yang memaparkan aksi seorang penebar roti canai di premis itu dilihat menggunakan telur ayam tanpa dibasuh terlebih dahulu selain mencampurkan bersama telur yang pecah.

Author

Pilihan Editor