MELAKA: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 melibatkan nilai RM267,400.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohd Azmi Mat Sah, 55, selaku pemilik DRAZZ Global Resourses dengan niat memperdayakan Perkeso Melaka, mengemukakan tiga nama individu berbeza dalam Borang Pengesahan Pekerja yang bukan kakitangan syarikat berkenaan untuk menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM13,200.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat DRAZZ Global Resources, Kompleks Perniagaan Limbongan, Melaka Tengah pada 5 Jun 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan keempat hingga kesembilan, Mohd Azmi didakwa dengan secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Perkeso untuk diri sendiri melibatkan wang berjumlah RM254,200 yang merupakan wang Bantuan Penjana Kerjaya 2.0.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Melaka Raya, Taman Melaka Jaya, Melaka Tengah pada 3 Ogos 2021 hingga 24 Februari 2022.
Mohd Azmi didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan dengan sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Mohd Azmi mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka sekali sebulan.
Peguam, Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Mohd Azmi merayu jaminan RM30,000 dengan alasan anak guamnya menanggung isteri, menantu dan empat cucu.
Hakim, Elesabet Paya Wan membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya.
Kes disebut semula pada 10 Mac ini. – BERNAMA