HomeBeritaRadikal antara sebab tauliah mengajar ditarik - Zawawi

Radikal antara sebab tauliah mengajar ditarik – Zawawi

KUALA LUMPUR: Bersikap radikal antara punca penarikan balik tauliah mengajar kepada pengkuliah di negeri Selangor.

Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan, sebahagian daripada mereka cuba membawa fahaman takfiri, ghuluw (melampau), terpengaruh dengan fikrah Khawarij yang keras dan radikal.

“Kerajaan Selangor bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keharmonian masjid dan surau di negeri melalui undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor di bawah Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) No. 9 Tahun 1995 iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sejajar dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Yang Dipertua PAS Kawasan Bangi, Mohd Shafie Ngah, berkaitan pentauliahan pengkuliah ditarik balik selepas didapati terlibat di dalam politik kepartian secara aktif.

Tambahnya lagi, titah Sultan Selangor melarang penggunaan masjid dan surau bagi menjalankan program serta ceramah berunsur kepentingan politik kepartian yang dikeluarkan pada 9 Januari 2023.

“Baginda menegaskan supaya masjid kekal bebas daripada unsur kepartian dan merupakan tempat ibadah dan kegiatan ilmu yang harmoni, tenang, ukhuwah dan bersilaturahim.

“Oleh yang demikian, saya melihat dakwaan yang dilemparkan ini tanpa sebarang bukti yang jelas dan tidak berasas sama sekali dan pihak terbabit perlu menarik balik kenyataan tersebut dengan segera,” katanya.

Mohd Zawawi turut menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus berusaha menjadikan masjid dan surau diimarahkan dengan pelbagai kegiatan kerohanian dan keagamaan sepanjang masa ke arah pembinaan masyarakat madani.

Author

Pilihan Editor