HomeBeritaPesara hilang RM50,000, rupanya 'scammer' adalah pembantu rumah sendiri

Pesara hilang RM50,000, rupanya ‘scammer’ adalah pembantu rumah sendiri

CYBERJAYA: Tindakan segera Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim membantu meninjau dan berjumpa pihak berwajib akhirnya berjaya menemukan ‘scammer’ yang mencuri RM50,000 daripada seorang pesara guru.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkongsikan di Facebooknya pada Ahad bagaimana beliau membantu menyelesaikan kes seorang pesara guru berusia 85 tahun, Kamaruddin yang kehilangan wang berjumlah RM50,000.

Terdahulu, anak pesara tersebut yang dikenali sebagai Liz berkongsikan di media sosialnya bahawa ayahnya kehilangan wang tersebut daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui pembelian di aplikasi Lazada.

Menurut Steven, beliau terus menghubungi Liz selepas diberitahu warga maya mengenai kes tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Itu satu hal. Lagi satu Liz beritahu saya, pihak berkuasa lambat sangat nak ambil tindakan. Masa itu musim cuti akhir tahun. Dia risau kalau dilengah-lengahkan nanti ‘scammer’ pasti akan terlepas.

“Saya segera tinjau dan berjumpa pihak berwajib, termasuk BSN Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak cepat. Mujur, masih ada sinar di sebalik kesedihan.

“Kerjasama di antara Kementerian Kewangan Malaysia, BSN, Lazada, pihak telco, dan pihak polis telah berjaya memberkas ‘scammer’ tersebut dan berjaya menyelesaikan siasatan dalam masa tujuh hari sahaja!” ujarnya.

Namun perkara yang paling mengejutkan dan menyakitkan hati ramai pihak daripada penangkapan tersebut ialah ‘scammer’ itu sebenarnya pembantu rumah Kamaruddin.

“Bayangkan, orang yang paling dia percaya pun boleh tikam belakang dia. Harapkan pegar, pegar makan padi.

“Si ‘scammer’ ini memang ada ‘direct access’ kepada telefon Encik Kamaruddin, dan telah guna kemahiran IT sehingga berjaya menggodam akaun BSN majikannya itu untuk membeli lambakan barang kemas dan emas di Lazada. Dia leburkan RM50,000 dan kemudian bercadang untuk terbang ke Filipina.

“Nasib baik polis kita cekap dan sempat menangkap si ‘scammer’ pada saat-saat akhir, sebab dia sudah pun membeli tiket kapal terbang dan bersedia untuk larikan diri!” jelas Steven.

Beliau menggesa orang ramai agar jangan sesekali mendedahkan ‘password’ kepada orang lain melihatkan kajian menunjukkan 37 peratus pendeposit mendedahkan ‘password’ kepada orang lain dan zaman sekarang mudah untuk melakukan pelbagai urusan perbankan melalui telefon.

Steven dalam kenyataanya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Asistan Superintenden James Lim dan Inspektor Sivalingam yang bertindak pantas menyelesaikan kes itu.

Author

Pilihan Editor