HomeBeritaPolis siasat rakaman CCTV pelanggan salin baju

Polis siasat rakaman CCTV pelanggan salin baju

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian rakaman video daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan yang terletak di sebuah pusat beli-belah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, Bahagian Siasatan Jenaya Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi menerima satu laporan berkenaan kejadian tersebut.

“Siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian tersebut.

“Perbuatan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru, pihaknya berharap mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat diminta hubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Fikri Abdul Manan di talian 013-4149917 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Malah, pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 11 saat dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter, Nishae yang memaparkan kejadian rakaman video daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan yang terletak dalam sebuah pusat beli-belah.

Video berkenaan nyata mengundang kemarahan pada warga maya serta membuatkan sebilangan menjadi takut untuk menukar pakaian di bilik persalinan yang mempunyai akses untuk orang awam.

Author

Pilihan Editor