HomeBeritaSaya percaya, Cikgu Hadee tampar anak untuk bakar semangat – Bapa pemain

Saya percaya, Cikgu Hadee tampar anak untuk bakar semangat – Bapa pemain

 

ALOR GAJAH: “Kami kenal Cikgu Hadee lebih lima tahun, anak saya kedua-dua mereka ini dilatih bermain bola tampar sejak darjah lima lagi”.

Itulah yang diungkap bapa kepada salah seorang pemain skuad bola tampar perempuan Melaka bawah 14 tahun, Nur’ Saidatul Akma Abd. Halim yang ditampar oleh jurulatihnya ketika Kejohanan Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.

Abd. Halim Bakar, 50, berkata, secara peribadinya beliau berharap jurulatih bernama Saiful Hadee Amar itu dikekalkan memandangkan isu berkenaan telah diselesaikan dengan baik.

Menurut Abd. Halim, beliau sekeluarga percaya bahawa tindakan Saiful Hadee menampar anaknya itu bukanlah dengan niat untuk mencederakan sebaliknya demi membakar semangat pemain untuk beraksi lebih baik.

“Dari tidak tahu bermain sampailah mereka berjaya ke peringkat negeri, malah Cikgu Hadee inilah yang bersungguh-sungguh mencari tempat latihan sampai ke Tanah Merah dia bawa, asalkan anak-anak murid dapat berlatih,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Abd. Halim berkata demikian pada sidang akhbar khas di rumahnya di Kampung Melekek, Melaka, pada Selasa.

Tambah Abd. Halim, anaknya juga tidak menganggap tindakan tersebut sebagai satu kekasaran sehingga meninggalkan kesan emosi.

“Anak kata tidak kuat pun, tidak sakit atau membuatkan emosinya terganggu, itu cara seorang jurulatih yang tegas memberikan semangat dan disebabkan itu juga pasukannya berjaya mara ke peringkat separuh akhir di Selangor,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nur’ Saidatul turut berharap Saiful Hadee dikekalkan memandangkan dia sekeluarga sudah mengenali Saiful lebih lima tahun dan percaya akan kemampuannya dalam melatih skuad pasukan bola tampar Melaka.

Tambah Nur’ Saidatul, meskipun ditampar, dia percaya bahawa Saiful Hadee merupakan seorang jurulatih yang berdedikasi kerana sanggup berkorban masa, wang dan tenaga demi melatih pasukan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam memaklumkan bahawa nasib Saiful Hadee sama ada digantung tugas atau sebaliknya akan ditentukan pada Rabu.

Menurutnya, jurulatih serta dua pemain terlibat akan dipanggil memberi keterangan dalam sesi yang turut dihadiri wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Tampar Amatur Melaka.

Author

Pilihan Editor