HomeGaya HidupMIHARA pelawa agensi pelancongan kolaborasi servis di udara

MIHARA pelawa agensi pelancongan kolaborasi servis di udara

SERI KEMBANGAN: Syarikat penyedia perkhidmatan pesawat ringan, MIHARA Aviation mempelawa agensi pelancongan negara untuk berkolaborasi segmen penerbangan pelancongan dalam negara terutama di kawasan luar bandar.

Ini kerana, MIHARA Aviation, syarikat yang diasaskan anak muda tempatan kini bersedia untuk menawarkan perkhidmatan meneroka pemandangan dari atas awan, menggunakan helikopter, ‘fixed wing’ dan jet peribadi, pada harga mampu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIHARA Aviation, Aishah Radhiah Adanan berkata, syarikat menyediakan perkhidmatan pesawat ringan kepada orang awam secara tempahan peribadi atau berasaskan program berskala besar.

Justeru, katanya, MIHARA Aviation sudi bekerjasama dengan pemain industri pelancongan mengadakan program berskala besar, bagi menyokong usaha merancakkan lagi aktiviti di sektor berkenaan.

“Apabila kita bercakap tentang helikopter, ‘fixed wing’ dan jet peribadi, pasti ada yang berfikir, tidak semua berpeluang menaikinya.

“Jadi, kita mahu ubah persepsi itu yang semua orang mampu. Kita mengaku bukan pemain industri tetapi, kita ada sediakan perkhidmatan ini. Kita tawarkan perkhidmatan sebegini melalui program basis, sama ada menerusi pelancaran produk, fotografi perkahwinan, atau seperti Jom Heboh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media MIHARA Aviation di pusat peranginan The Mines Resort & Golf Club, di sini.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ahli Lembaga Penasihat MIHARA Aviation, Mohd Badrul Aswani Ahmad Shokre dan Ahmad Fazrin Yahaya, serta Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udani.

Aishah Radhiah berkata, MIHARA Aviation juga menantikan untuk memulakan kerjasama strategik dengan hotel, syarikat pelancongan dan semua rakan kongsi berpotensi yang memerlukan perkhidmatan mereka.

Bagi tempahan secara program asas katanya, MIHARA Aviation menyediakan pakej helikopter dengan dua pesawat ringan jenis H125 dan Bell 407.

Pakej dibuka serendah RM298 untuk enam minit bagi setiap 1 kumpulan lima orang (1pax) dan satu juruterbang manakala RM698 untuk 15 minit bagi setiap 1pax.

Bagi pakej fixed wing, pakej dibuka serendah RM198 bagi enam minit, dan RM498 bagi 15 minit. Bagi jet peribadi jenis N399 pula berdasarkan permintaan sahaja.

Sementara itu, Mohd Badrul Aswani berkata perkhidmatan helikopter itu juga turut mendarat di atas kapal pelayaran ‘cruise’ yang terpilih dengan pakej tambahan RM300 selain ke Genting Highlands dengan pakej RM500.

Author

Pilihan Editor