HomeBeritaTerjerumus lembah dadah gara-gara ‘nikmat’ pil kuda - Bekas penagih

Terjerumus lembah dadah gara-gara ‘nikmat’ pil kuda – Bekas penagih

 

CYBERJAYA: Meskipun kelihatan segak bergaya dan memegang jawatan selaku pegawai eksekutif jabatan sumber manusia di sebuah syarikat ternama di utara tanah air, siapa sangka insan sedemikian juga pernah terjebak dalam kancah penagihan dadah.

Hasan (bukan nama sebenar), 32, berkongsi detik hitam dirinya yang terpalit dalam dunia penagihan dadah sejak di universiti lagi.

Kongsinya, pada mulanya dia mengenali dunia gelap itu menerusi ‘nikmat’ pil kuda.

“Saya melihat rakan sebilik mengambil barang terlarang itu sebelum turut mencuba syabu dan ganja. Rakan terbabit dikategorikan ‘mulut naga’ yang wajib mengambil ‘barang’ setiap hari.

“Dia tak ubah seperti mayat hidup dan kami selalu juga ‘layan’ barang bersama.

“Aktiviti ‘gelap’ itu kemudian berterusan dilakukan secara sorok-sorok sejak hampir 10 tahun lalu. Malah saya masih menagih pil kuda walaupun selepas tamat belajar dan memasuki alam pekerjaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Hasan turut menyatakan biarpun dia ketagih dadah namun masih ‘bijak’ mengaburi mata orang sekelilingnya yang beranggapan dia sama sahaja seperti lelaki normal lain yang tiada sebarang isu.

“Saya nampak seperti pekerja normal lain. Saya tidak akan mengambil barang terlarang itu secara berlebihan terutama pada minggu berkerja supaya ia tidak mengganggu prestasi di pejabat.

“Saya perlu bijak ‘main drama’ dan tidak mengambil dadah berlebihan kerana perlu menjaga imej dan kerjaya selain tidak mahu aktiviti itu diketahui ahli keluarga, rakan sekerja dan majikan.

“Kerja saya memang sibuk dan stress. Bila cuti umum atau hujung minggu, saya akan ambil ‘barang’ untuk legakan tekanan itu,” katanya.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga, itulah perumpamaan yang sinonim dengan kisah dilalui Hasan apabila aktiviti penagihan dadahnya itu akhir ‘kantoi’ dengan ahli keluarga.

“Bagaimanapun saya bersyukur apabila mereka memberikan semangat untuk menjalani program pemulihan penagih,” ujarnya.

Sehingga hari ini, Hasan yang masih belum mendirikan rumah tangga kekal menjalani rawatan pemulihan dan kini mendalami ilmu di sebuah pondok pengajian agama.

Hasan nekad untuk berubah dan ‘bersih’ daripada lembah hina itu dan sejak Oktober 2019, dia sudah meninggalkan barang terlarang berkenaan.

Hasan yang berpendidikan ijazah sarjana muda itu berazam mahu meninggalkan noktah dalam gejala dadah yang sebati dalam dirinya.

Author

Pilihan Editor