ANKARA: Turkiye pada Sabtu mengutuk “perbuatan keji” ke atas al-Quran dan menyifatkan ia sebagai satu “jenayah kebencian secara terang-terangan”, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Luar Turkiye.
Menurut kenyataan itu “membiarkan tindakan anti-Islam yang menyasarkan umat Islam dan menghina nilai-nilai suci kita dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara tidak boleh diterima sama sekali.”
Turkiye menyeru pihak berkuasa Sweden untuk mengambil langkah yang perlu terhadap jenayah kebencian ini kerana perbuatan itu satu lagi contoh Islamofobia, gerakan perkauman dan diskriminasi di Eropah yang amat membimbangkan.
Kementerian itu juga menggesa semua negara serta pertubuhan antarabangsa untuk mengambil langkah konkrit sebagai solidariti menentang Islamofobia.
Kenyataan Turkiye itu dibuat selepas ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan, dilaporkan telah mendapat kebenaran untuk membakar al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm pada Sabtu.
Susulan itu, Ankara membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson yang akan ke Turkiye.
Kementerian Luar Turkiye pada Jumaat turut memanggil Duta Sweden ke Ankara Staffan Herrstrom.
Minggu lalu, Turkiye meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turkiye dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu.
Bagaimanapun, Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara itu menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO). – BERNAMA