HomeBeritaPolitikUMNO Perlis rayu MT dekatkan diri dengan rakyat

UMNO Perlis rayu MT dekatkan diri dengan rakyat

KUALA LUMPUR: UMNO Perlis merayu kepada kepimpinan tertinggi parti pusat supaya turun padang mendekati rakyat dan ahli hingga ke akar umbi ke setiap negeri bagi menyuntik semangat terhadap parti terbesar Melayu itu.

Perkara itu antara lima permohonan yang digariskan oleh UMNO di negeri Indera Kayangan itu, menerusi ucapan Ketua Pemuda UMNO Perlis, Harmizan Abd Halim pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Dalam permohonan itu, Harmizan meminta supaya satu biro khas dianggotai pakar teknologi maklumat (IT) dan media sosial setiap bahagian seluruh negara.

Selain itu, beliau bersetuju jika proses pemutihan dan memperkasakan kembali ahli yang benar-benar setia dalam parti, bagi membantu mendepani cabaran akan datang.

“Pemimpin di atas juga perlulah bersatu hati dalam menguruskan kepentingan parti dan bukannya kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau juga bersetuju jika jawatan Presiden Dan Timbalan Presiden tidak lagi dipertandingkan demi kebaikan parti UMNO akan datang.

Mengakui bahawa perjalanan UMNO masih jauh lagi, namun katanya, sudah tiba masanya UMNO berubah mengikut acuan semasa dengan mengejar kualiti dalam parti.

“Di dalam parti UMNO perkara yang paling penting adalah kesetiaan dan kejujuran yang akan membawa kepada kestabilan di dalam parti.

“Perkara ini amat penting bagi memastikan parti UMNO tidak berpecah lagi di masa hadapan demi kemakmuran.

“Jangan kita salahkan sesiapa dalam parti, semua daripada kita harus memikul tanggungjawab bersama,” katanya.

Apabila disiasat punca kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, katanya tiga perkara besar iaitu pertama, tsunami anak muda; kedua, perpecahan dalaman dan ketiga, sabotaj parti.

“Perkara 2 dan 3 ini perlu dihentikan segera bagi menstabilkan parti UMNO.

“Yang menjadi pengkianat, yang sabotaj parti serta broker harus diambil tindakan tegas.

“Isu dalaman parti UMNO Negeri Perlis saya mengetahuinya, berlakunya perpecahan yang amat dahsyat dalam sejarah UMNO Negeri Perlis,” katanya.

Author

Pilihan Editor