HomeBeritaPolitikUMNO sertai Kerajaan Perpaduan demi selamatkan nasib rakyat Malaysia

UMNO sertai Kerajaan Perpaduan demi selamatkan nasib rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan kepada semua ahli UMNO bahawa keputusan UMNO menyertai PH untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan adalah demi nasib rakyat.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, susulan kekalahan teruk UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, mereka sedar tidak berhak meminta, mendesak dan mengharapkan apa jua habuan dalam rundingan membentuk kerajaan.

Menurutnya, beliau mengusulkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk di antara PH dan PN yang memperoleh jumlah kerusi Parlimen yang banyak memandangkan kedua-dua belah pihak memerlukan gabungan parti untuk mendapat majoriti.

“Maka saya pun dengan tegas mengusulkan dalam Facebook saya agar PN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan dan jika diperlukan bantuan UMNO, maka kita sentiasa bersedia untuk berunding tetapi dengan keikhlasan dan ketelusan.

“Apa lagi bila itu juga lah hasrat dan seruan daripada pihak Istana Negara agar semua bersepakat menubuhkan Kerajaan Perpaduan, tetapi malangnya PN menolak mentah-mentah.

“Mereka berkeras untuk tidak bekerjasama dengan PH dalam apa jua sekali pun, sekaligus menolak saranan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang disarankan oleh Istana Negara.

“Maka UMNO waktu itu merasakan bertanggungjawab untuk tampil dan menjadi penyelesai kepada usaha untuk membentuk Kerajaan Perpaduan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Rabu malam.

Jelasnya, UMNO yang sekian lama memperjuangkan perpaduan Melayu dan nasional, tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan masa depan Malaysia menjadi ‘secondary’.

Tambahnya, lima hari negara tidak berkerajaan, matawang negara jatuh daripada RM4.50 sehingga RM4.75, malah ‘capital flight’ meninggalkan negara ketika itu.

“Maka membawa Malaysia keluar daripada kemelut pasca PRU15 adalah misi utama pada ketika itu.

“Tugas utama kita adalah mengeluarkan Malaysia daripada kemelut pasca PRU15, terlalu banyak isu yang mencengkam rakyat saban hari dan kita tidak boleh membiarkan drama politik ini berlarutan sehingga menjejaskan kualiti hidup rakyat.

“Sudah empat tahun rakyat menderita, kita perlu satu kerajaan yang kuat dan stabil selepas PRU15, UMNO harus melakukan tugas patriotiknya untuk negara ini.

“Memastikan bahawa kerajaan dapat dibentuk dengan bantuan UMNO walaupun kita tewas kerana kedudukan negara yang genting pada saat itulah maka UMNO memeterai persefahaman dengan PH, GRS dan GPS untuk bekerjasama mentadbir negara,” tegasnya.

Author

Pilihan Editor