HomeBeritaWarganegara tanpa zuriat gembira anak angkat terima kerakyatan

Warganegara tanpa zuriat gembira anak angkat terima kerakyatan

PUTRAJAYA: Pasangan warganegara tanpa zuriat hari ini gembira apabila anak angkat mereka menerima kerakyatan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Rata-rata pasangan yang ditemui mendakwa mereka sudah berpuluh tahun tidak dikurniakan anak dan mengambil anak angkat sebagai penyeri kehidupan.

Seorang warganegara yang mahu dikenali sebagai Aishah berkata, dia sudah 27 tahun mendirikan rumah tangga dan pelbagai usaha dilakukan namun tidak dikurniakan zuriat sendiri.

“Akhirnya ada wanita Indonesia menawarkan anaknya untuk dijadikan anak angkat.

“Bapa biologi adalah warganegara namun kerana mereka tidak daftar perkahwinan menyebabkan anak itu tanpa kerakyatan walaupun ada sijil lahir.

“Memang sukar apabila ibu bapa biologi tidak daftar perkahwinan kerana kesannya pada masa depan anak-anak.

“Saya mengambilnya sebagai anak angkat dan memohon kerakyatan baginya pada tahun 2019.

“Syukur dapat kemudahan sekolah walaupun tiada kemudahan buku teks, cikgu-cikgu banyak membantu,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Saifuddin Nasution beramah mesra dan menyampaikan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia kepada warga emas di hadapan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) Putrajaya.

Dia ditemui pada majlis penyerahan surat kelulusan kewarganegaraan yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada 28 penerima di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara.

Bagi Suryana Midi dari Tanjong Karang, Selangor, dia bersyukur kerana proses pendaftaran anak angkat lelakinya, Syuib Rizqin Ramli Abdul Hadi yang diambilnya kira-kira empat tahun lalu, direalisasi oleh pihak JPN hari ini.

“Bagi urusan sekolah, guru sekolah memudahkan pembelajaran anak angkat saya dengan meminjamkan buku teks.

“Selepas ini, dia tak perlu lagi membuat rayuan berulang kali kerana sudah peroleh dokumen pengenalan,” katanya yang tidak memiliki zuriat sendiri bersama pasangannya, sejak 24 tahun lalu.

Author

Pilihan Editor