HomePendidikanYWP peruntuk RM1 juta setahun bantuan pendidikan, kemahiran anak muda

YWP peruntuk RM1 juta setahun bantuan pendidikan, kemahiran anak muda

KUALA LUMPUR: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyasarkan peruntukan RM1 juta bagi tahun 2023 membabitkan bantuan aspek pendidikan ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan kemahiran bidang hospitaliti dan penerbangan kepada anak muda keciciran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, YWP mengalu-alukan kerjasama strategik dan sumbangan dari agensi luar syarikat korporat sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Katanya, usaha itu demi membantu meringankan beban rakyat terutama golongan B40 dan miskin bandar melalui program pembangunan PESAT iaitu pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.

“Yayasan (YWP) beri peluang ini (bantuan one-off) kepada anak muda yang dapat tawaran ke IPT tetapi tidak mampu menyambung pengajian kerana kekangan kewangan.

“Bukan setakat one-off, Yayasan juga menyediakan program Pembangunan Usahawan Anak Muda dengan mencari tapak perniagaan dan beri kiosk.

“Untuk bidang latihan, Yayasan juga sedang merangka ‘on job training’ (latihan kerja) untuk pelajar tercicir, kita bantu latih dalam bidang hospitaliti dan penerbangan dalam setahun sebelum diambil majikan untuk terus bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal ke IPT YWP secara one-off kepada 16 pelajar peringkat Parlimen Wangsa Maju, yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen kawasan, Zahir Hassan.

Tiga daripada penerima bantuan daripada peringkat Diploma dan 13 lagi di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Syarat dan kriteria permohonan bantuan ialah pemohon mestilah lahir di Wilayah Persekutuan, ibu/ bapa/penjaga adalah pengundi Wilayah Persekutuan dan menetap di Wilayah Persekutuan serta mempunyai pendapatan perkapita RM1,500 dan ke bawah.

Sementara itu, Zahir yang juga Ketua Setiausaha Pengelola PKR bagi sesi 2022 hingga 2025 itu menzahirkan dukacita berhubung situasi ekonomi keluarga pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian di IPT ketika ini.

“Kita berasa sedih dalam keadaan sekarang apabila ada yang tidak dapat sambung belajar sebab kewangan sempit.

“YWP sekurang-kurangnya sudah melakukan inisiatif untuk membantu pelajar layak masuk ke IPT tidak terhalang dengan tidak ada dana duit melalui bantuan one-off. Selepas masuk ke IPT pelajar boleh mohon bantuan kerajaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor