PETALING JAYA: Yayasan Basmi Kebajikan (YBK) menyasarkan setiap 200 keluarga bakal menerima sumbangan sebanyak RM600 berserta barangan dapur menerusi program Sinar Kasih Ramadan (SKR) lebih awal.
Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, penerima merupakan keluarga yang terpilih daripada golongan miskin tegar dan sumbangan ini bagi kegunaan perbelanjaan berbuka dan bersahur.
Menurutnya, senarai nama penerima tersebut juga diperoleh dengan bantuan dan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
“Setiap satu keluarga yang isi rumahnya dalam empat atau lima orang dan pendapatannya di bawah RM1,600, ini yang kita panggil miskin tegar.
“Dan senarai nama ini telah kita terima daripada NGO-NGO di luar sana, dan insya-Allah seminggu sebelum Ramadan bermula duit ini akan diserahkan kepada penerima.
“Dengan barangan-barangan yang disampaikan yayasan ini kepada kumpulan sasaran supaya malam sahur yang pertama itu mereka sudah boleh memanfaatkan sumbangan,” katanya dalam sidang media pelancaran program SKR 2023 di Rumah YBK pada Khamis.
Tambahnya, YBK juga berharap sasaran pemberian itu dapat dicapai susulan senarai yang menunggu sumbangan juga banyak dan YBK akan mengumpulkan dalam lebih kurang RM120,000 untuk mencapai sasaran.
Untuk rekod, program SKR kali ini merupakan penganjuran kali ke-15 yang telah dilaksanakan YBK sejak 2008 dengan objektif meringankan beban keluarga fakir, miskin dan asnaf terpilih sepanjang bulan Ramadan khususnya dalam perbelanjaan berbuka dan bersahur.
Setakat ini, sebanyak 3,771 keluarga telah menerima manfaatnya sejak SKR dilancarkan pada 2008 dan mereka ini dipilih berdasarkan beberapa kriteria antaranya ialah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan keadaan sosio-ekonomi keluarga.
Untuk SKR kali ini, beberapa syarikat korporat dan NGO telah menyatakan persetujuan kolaborasi iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mamee-Double Decker, Dutch Lady, MyFundAction, Yayasan Al-Manjie, Yayasan Ragad, Yayasan Food Bank dan Yayasan Vfive.
Turut hadir bersama Zainal bagi menyempurnakan pelancaran SKR 2023 tersebut ialah Pengerusi SKR, Datin Dr Hartini Osman.