HomeSukanAkibat komen berbaur perkauman, pemain hoki kebangsaan digantung

Akibat komen berbaur perkauman, pemain hoki kebangsaan digantung

PEMAIN hoki negara, Hanis Nadiah Onn digantung sementara daripada menyertai pasukan kebangsaan termasuk menyertai Sukan Sea Kemboja 2023.

Keputusan ini dibuat setelah tular komen Hanis di laman Instagram miliknya yang berbaur perkauman mengenai konser AR Rahman pada 28 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, hasil siasatan yang dijalankan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan Hanis akan dikecualikan daripada Sukan SEA 2023 akan datang yang akan berlangsung di Kemboja.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan KHM tidak mempertimbangkan Hanis daripada mewakili pasukan hoki kebangsaan dalam mana-mana tugasan antarabangsa termasuk Sukan SEA Kemboja 2023,” katanya.

Akibat daripada komen tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah memanggil MSN dan KHM untuk membentuk satu jawatankuasa bagi menyiasat isu perkauman yang dibuat pemain hoki kebangsaan itu pada 31 Januari yang lalu. Jurulatih pasukan hoki wanita kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli turut dipanggil untuk membantu siasatan. 

Memetik laporan Malay Mail, hasil siasatan mendakwa bahawa Hanis telah memuat naik kenyataan berbaur perkauman di laman Instagramnya kerana komen itu ditujukan kepada konsert di mana majoriti hadirin adalah etnik India.

Menurut Mohd Nasihin, Hanis mempunyai ramai kenalan hoki di kalangan bangsa India dan mempunyai hubungan yang rapat kerana sifat Hanis yang disenangi oleh rakan sepasukan.

Dengan tindakan yang dibuat Hanis itu, ia telah mencemarkan imej pasukan hoki wanita negara dan KHM yang jelas melanggar kod etika badan induk itu.

 

Author

Pilihan Editor