HomeBeritaAnjing K9 jadi ‘hero’! Selamatkan nyawa adik Rayyan

Anjing K9 jadi ‘hero’! Selamatkan nyawa adik Rayyan

SEMATAN: Misi mencari seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan Kuari Batu Perigi akhirnya berjaya ditemui hari ini, atas khidmat anjing pengesan dari Unit K9 Bomba, Daisy.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, Muhammad Rayyan Bujang Abdul Qayyum yang berusia dua tahun itu dijumpai selamat kira-kira pukul 1 tengah hari di kawasan ladang kelapa sawit.

“Mangsa dijumpai pada radius dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) oleh Unit K9 Bomba (Daisy) dan seterusnya diserahkan kepada keluarganya,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Khamis.

Tambah beliau, khidmat Daisy digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan hari ini, dengan memulakan operasi dengan radius pencarian satu hingga tiga kilometer di kawasan ladang sawit.

Maklumnya lagi, operasi pencarian itu turut melibatkan pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam.

“Pasukan penyelamat memulakan operasi SAR di sekitar kawasan ladang kelapa sawit.

“Pencarian diperluaskan oleh pasukan penyelamat yang dibahagikan kepada dua pasukan dengan kaedah ‘base line method’ dalam radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dikenal pasti hilang,” katanya.

Muhammad Rayyan dilaporkan hilang pada petang semalam ketika bersama ibunya menunggu bapanya pulang bekerja di pondok Kuari Batu Perigi.

Mangsa kali terakhir dilihat oleh ibunya sedang bermain di luar kawasan pondok di belakang rumah kongsi di kuari berkenaan.

Setelah menyedari mangsa tiada, ibu mangsa bergegas mencarinya dengan bantuan suaminya serta beberapa pekerja kuari berkenaan namun masih gagal menjumpai kanak-kanak itu.

Author

Pilihan Editor