HomeBeritaTiga negara jalin kerjasama SERI demi kelestarian makanan

Tiga negara jalin kerjasama SERI demi kelestarian makanan

CYBERJAYA: Tiga negara iaitu Malaysia, Jepun dan Singapura jalan kerjasama menerusi program SERI untuk mewujudkan sistem makanan lestari bagi generasi akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Impact Circle Sdn Bhd, Melisa Ong berkata, menerusi kerjasama SERI, setiap pemain industri dari tiga negara akan saling menyokong dalam agenda bekalan makanan.

“Kerjasama yang boleh dibuat dengan melihat kekuatan negara masing-masing, contohnya Singapura memiliki ramai pelabur dari luar negara, Malaysia pula memiliki banyak universiti untuk kajian makanan dan banyak tanah untuk pertanian manakala Jepun pula ada banyak teknologi penghasilan makanan yang boleh membantu.

“Dengan gabungan ketiga-tiga negara ini kita mampu membina kapasiti yang lebih berdaya mampan untuk memastikan bukan sahaja bekalan makanan cukup malah ia sihat untuk rakyat di seluruh dunia.

“Kita semua tahu menjelang tahun 2050, populasi manusia akan meningkat hingga 10 bilion, dengan perubahan iklim, inflasi, pasca pandemik, bencana dan lain-lain, bekalan makanan turut terjejas namun kita mahu pastikan menerusi kerjasama ini tiada isu bekalan makanan untuk menampung keperluan penduduk.

“Kita mahu semua negara ‘seri’, saling mendapat manfaat dan tiada tertinggal,” katanya kepada media pada Kem Kelestarian Makanan 2023 di RekaScape yang disertai lebih 20 pempamer industri makanan.

Kem ini dianjurkan oleh Leave a Nest Malaysia Sdn Bhd dan Sustainable Food Asia Inc.

Pada majlis itu turut menyaksikan Memorandum Persefahaman Bersama antara Impact Circle Sdn Bhd (Malaysia), Sustainable Food Asia (Jepun) yang juga Food9B yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Satoshi Umino dan Innovate 360 (Singapura) diwakili John Cheng.

Kem Kelestarian Makanan 2023 satu platform yang menggabungkan semua pakar, usahawan, pembuat dasar dan orang awam, mengetengahkan idea dan peluang untuk syarikat pemula (startup).

Menerusi program ini, diharapkan semua kepakaran dan rangkaian boleh digabungkan bersama untuk memastikan bekalan makanan cukup untuk 25 tahun akan datang.

Dalam pada itu, Satosi berkata, tidak mustahil Malaysia akan menjadi hab penghasilan makanan kerana Malaysia ada segalanya untuk memastikan agenda kelestarian makanan dilaksanakan dengan baik.

“Kami memilih Malaysia kerana ia pengeluar produk halal terbesar Asia dan memiliki hubungan baik dengan negara serantau.

“Kami melihat Malaysia sebagai satu potensi besar untuk melaksanakan agenda kelestarian makanan bagi memastikan bekalan makanan cukup untuk rakyat di Asia khususnya, ” katanya

 

Author

Pilihan Editor