HomeBeritaBekas isteri persoal JAIS tauliahkan pendakwah gagal patuhi garis panduan

Bekas isteri persoal JAIS tauliahkan pendakwah gagal patuhi garis panduan

KUALA LUMPUR: Menurut garis panduan pemegang tauliah yang ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), antara syarat seseorang untuk ditauliahkan adalah berakhlak mulia, amanah, tidak memfitnah serta mematuhi undang-undang negara.

Bagaimanapun pendedahan mengenai status sijil pentauliahan mengajar seorang pendakwah terkenal yang diragui kerana tiada kelayakan bidang agama turut mendedahkan isu lain iaitu pematuhan syarat tauliah.

Pendedahan berkenaan oleh bekas isteri pendakwah Syed Abdul Rahman Syed Ali Alhadad, iaitu Norlina A yang mempersoalkan bagaimana JAIS tidak meneliti aspek lain sebelum meluluskan tauliah terhadap pendakwah berkenaan.

“Beliau gagal membayar mutaah yang diperintahkan Mahkamah Syariah Shah Alam pada Mei tahun 2021.

“Tuntutan mutaah telah difailkan sejak tujuh tahun lalu dan perintah diperoleh tahun 2021 namun tiada bayaran dibuat sehingga hari ini, dan ini membuktikan syarat akhlak mulia dan amanah gagal dipatuhinya.

“Selain itu pendakwah itu juga menuntut semula hartanah mutlak iaitu rumah dan tanah yang sudah dipindah milik sebagai hadiah kepada saya atas dasar kasih sayang ketika sebelum beliau berpoligami.

“Malah berpoligami tanpa pengetahuan saya, jelas ia bukanlah akhlak yang mulia untuk membolehkannya menerima tauliah dari JAIS, bagaimana kes-kes seperti ini tidak disaring agensi itu sebelum pertaulihan diberi.

“Kegagalan menyaring isu-isu akhlak sebelum beri tauliah boleh beri imej negatif kepada agensi yang sewajarnya menjaga keharmonian agama Islam di negeri ini,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Lebih aneh, kategori tauliah yang diterima iaitu ‘lain-lain’ tidak tersenarai dalam keempat-empat kategori yang tertera di laman sawang JAIS iaitu D1 : Tauliah Ceramah, D2: Tauliah Mengajar Fardhu Ain, D3: Tauliah Mengajar Al Quran dan D4: Tauliah Khas.

Norlina A mendedahkan, pendakwah yang juga bekas jurutera tidak berpuas hati dengan keputusan penetapan Mahkamah Tinggi Syariah yang diulang sebanyak tiga kali berhubung tuntutan hartanah itu.

“Malah, ketika hendak melakukan poligami, beliau membuat sekatan ke atas harta tersebut dengan alasan mereka dalam proses perceraian dan Akuan Sumpah turut dibuat.

“Sedangkan, sekatan itu dibuat tanpa pengetahuan saya ketika itu,” katanya.

Norlina A persoalkan integriti pendakwah itu kerana talak telah jatuh mengikut hukum kinayah (selepas dirujuk beberapa guru dan pihak JAIS) sebaik sahaja pendakwah itu membuat Akuan Sumpah bahawa mereka sedang dalam proses perceraian tetapi tanpa pengetahuannya.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan pendakwah terkenal yang juga bapa kepada rapper tersohor negara, Altimet, dipercayai masih gagal membayar mutaah kepada bekas isterinya selepas perintah Mahkamah Syariah Shah Alam dikeluarkan tahun lalu.

Pendakwah berkenaan memberi alasan kepada Hakim bahawa tiada penetapan tarikh yang dicatit dalam Perintah Mahkamah.

Tuntutan mutaah berjumlah RM28,900 itu telah dibuat oleh bekas isterinya, Norlina A. Namun begitu, difahamkan menerusi video Tik Tok “Ulamakalamak” bahawa pendakwah tersebut telahpun pergi Umrah dan ziarah ke Yaman selama satu bulan, pada 15 Februari baru-baru ini.

Difahamkan, pendakwah itu memiliki tauliah dan banyak berceramah mengenai aspek kekeluargaan dalam Islam.

Seorang pendakwah yang memiliki tauliah dan kelulusan agama namun enggan mendedahkan namanya berkata, Malaysia paling ramai melahirkan pendakwah dan ‘ustaz cap ayam’ yang tidak berkualiti.

Beliau mendakwa berlaku kepincangan sistem tauliah yang ada sekarang dan masalahnya ia berada di bawah bidang kuasa negeri.

Persoalannya, bagaimana proses penilaian JAIS terhadap pemohon yang ingin memohon sijil tauliah tetapi tidak ada penguatkuasaan, adakah ibarat menunggu terhantuk baru tengadah atau jika ada laporan dibuat baru siasatan atau tindakan dijalankan.

Dalam pada itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi memaklumkan isu tauliahkan diserahkan kepada Setiausaha Jawatan Kuasa Tauliah.

“Nanti pegawai saya akan hubungi anda,” katanya.

Author

Pilihan Editor