HomeBeritaMahkamah & JenayahMahkamah kekalkan hakim asal dengar kes madu Miera Liyana

Mahkamah kekalkan hakim asal dengar kes madu Miera Liyana

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini mengekalkan hakim asal, Yusof Sulaiman bagi mendengar prosiding nusyuz madu kepada pelakon Miera Leyana Kasmi.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Abdul Fattah Kamaruddin telah membenarkan permohonan Fatimawati Ismail iaitu peguam mewakili defendan, Adibah Abdul Mutalib.

Adibah adalah isteri pertama Ketua Pegawai Eksekutif SCIB (anak syarikat Serba Dinamik), Rosland Othman sebelum berpoligami dengan Miera Leyana.

Terdahulu, Abdul Fattah berpandangan beliau boleh meneruskan pendengaran namun perlu meneliti butiran kes terlebih dahulu.

“Jika saya perlu teliti butiran kes yang difailkan sudah setahun lalu maka akan ambil lebih masa, jadi elok ia didengar hakim asal,” katanya.

Fatimawati ketika diminta mengulas berkata, kebenaran mengekalkan hakim asal tidak menyalahi arahan amalan yang membenarkan pengekalan hakim lama di peringkat kes plaintif jika ada permohonan dari mana-mana pihak.

“Pihak kami bersyukur Hakim meraikan permohonan anak guam untuk mengekalkan hakim asal bagi prosiding nusyuz kerana hakim berkenaan kerana masih bertauliah kendalikan kes.

“Hakim asal dipindahkan ke Jabatan Kehakiman Syariah tetapi masih boleh dipanggil untuk pendengaran jika ada permintaan,” katanya kepada MEDIA VARIASI di pekarangan Dewan Bicara 6, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.

Rosland Othman bersama peguamnya

Turut hadir, Adibah bersama anak sulungnya, Nur Izzah Rosland dan ahli keluarga yang lain.

Peguam yang mewakili Rosland, Datuk Amli Embong enggan memberi komen manakala Rosland bergegas meninggalkan dewan ketika media ingin menemu bual.

Aisah Abdullah, ibu Miera Leyana, Md Fadley Kasmi, abang Miera Leyana, dan dua orang adik Rosland, Kamarul dan Hafeez turut hadir menemani Rosland.

Saksi kes nusyuz iaitu ibu Miera Leyana turut enggan memberi komen media kerana dakwanya ada injuksi untuk tidak bercakap dengan media.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan Rosland menyekat talian dan tidak pulang ke rumah untuk bersama lima anak perempuannya hasil perkongsian hidup dengan Adibah.

Anaknya, Nur Izzah turut mempersoalkan bapanya mampu bercuti ke luar negara namun didakwa tidak membayar nafkah.

Author

Pilihan Editor