KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan elaun 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir, dengan 70,000 orang akan menerima sumbangan itu melibatkan peruntukan lebih RM40 juta.
“Kerajaan telah menyediakan peruntukan berkaitan hal ehwal Islam berjumlah RM1.5 bilion dan kita mahu institusi Islam dalam negara Madani ini menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran.
“Pengurusan paling cekap harus dimulakan di sini, dan gedung ini mesti menjadi markas dakwah yang berkesan yang boleh meningkatkan kefahaman sebenar mengenai Islam,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar hari ini membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. – BERNAMA