Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah membayangkan ada pihak cuba jatuhkannya dengan cara kotor agar dikecualikan daripada bertanding pada pemilihan kali ini. Namun, selepas dipanggil menghadap hari ini, lembaga disiplin parti tidak menghalang dirinya untuk kekal bertanding. Beliau yakin lembaga disiplin adil dan berintegriti dalam memberi penilaian terhadap usaha pihak tertentu untuk memburukkan reputasinya. “Saya dipanggil lembaga disiplin untuk membela diri berhubung beberapa pertuduhan tatatertib membabitkan pemilihan parti. “Saya sebagai seorang pemimpin dan memegang konsep kepartian, saya sudah memberikan dokumen pembelaan kepada lembaga disiplin dan beberapa soalan ditanyakan (mereka, sudah saya jawab). “Tohmahan ini timbul selepas saya menyatakan pendirian untuk bertanding, mereka kena ‘gentleman’ jangan baling batu sembunyi tangan sahaja,” katanya pada sidang media sejurus selesai menghadap Lembaga Disiplin UMNO di Menara Dato Onn pada Jumaat.