HomeBeritaMahkamah & Jenayah'Bella tak pernah diberi makan cili, najis atau disimbah air panas' -...

‘Bella tak pernah diberi makan cili, najis atau disimbah air panas’ – Siti Bainun

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa kejadian remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella disuruh makan cili dan najis selain diikat, disimbah air panas serta ditekap dengan kuali panas tidak pernah berlaku.

Menurut Siti Bainun, 31, keterangan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood yang juga bekas penghuni Rumah Bonda itu adalah tuduhan palsu terhadapnya.

Ketika pemeriksaan utama, peguam, Mohammad Farhan Maaruf meminta Siti Bainun yang juga orang kena tuduh (OKT) untuk menceritakan kepada mahkamah kejadian yang dianggap sebagai tuduhan.

“Tak ada sebab saya nak buat kepada Bella dan kenapa Bella? Bella tak pernah susahkan saya walaupun sekali. Saya tidak perlu buat pada Bella dan bukan juga pada yang lain termasuk Yasmin, walaupun dia (Yasmin) paling banyak memeningkan saya hampir setiap hari,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Siti Bainun turut menyatakan bahawa dia tidak pernah mengarahkan Yasmin supaya menganiaya Bella atau menyuruhnya menyimbah air panas terhadap remaja terbabit.

Untuk rekod, pada 14 April 2022, Yasmin dalam keterangannya kepada mahkamah memberitahu Bella diberi makan 20 biji cili padi selama beberapa kali seminggu oleh Siti Bainun.

Menurut keterangannya, Bella juga dimarah dan diugut diberi air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut jika menjerit kuat ketika diberi suntikan picagari.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Author

Pilihan Editor