HomeBeritaPolitik12,000 UMNO Subang rayu Arman dikekalkan

12,000 UMNO Subang rayu Arman dikekalkan

SUBANG: Kira-kira 12,000 ahli UMNO Subang, hari ini merayu kepada pucuk pimpinan parti supaya Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Arman Azha Abu Hanifah dikekalkan di posisi sedia ada.

Ia susulan Arman Azha yang mengesahkan dirinya dipanggil ke Tribunal Lembaga Disiplin parti, pihak akar umbi UMNO Subang merayu supaya keadilan diberikan sewajarnya kepada dalam sesi pendengaran nanti.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Subang, Datuk Mohamad Razman Rahim berkata, sebagai sebuah bahagian yang tidak pernah terpalit dengan isu kesetiaan terhadap parti dan institusi, pihaknya dengan rendah hati merayu agar memberi kesempatan kepada Ketua Bahagian mereka meneruskan khidmat bakti.

“Selain diberi peluang untuk Ketua UMNO Bahagian Subang meneruskan khidmat bakti beliau di kawasan ini, seterusnya diberi peluang bagi hasratnya menawarkan diri untuk memimpin Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan parti akan datang.

“Kami sebagai kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan yang terlibat aktif di bahagian Subang, untuk makluman, sepanjang Senator Datuk Arman Azha menjadi Ketua Bahagian, kami dihantar sebagai jentera sokongan di setiap pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri bagi membantu calon BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wakil Bahagian UMNO Subang, di Pejabat UMNO Subang, di sini.

Mohd Razman berkata, pihaknya percaya terlalu awal bagi pihak tertentu untuk membuat laporan terhadap seseorang calon.

“Laporan (media) sebegini dilihat lebih kepada usaha untuk menyekat atau mematikan langkah lawannya dan ini bagi kami bukanlah sebuah langkah penyuburan demokrasi sihat.

“Malah secara peribadinya baik dalam kenyataan atau ucapan Senator, beliau sentiasa mengingatkan kami mengenai pentingnya menghormati dan mendokong institusi Presiden serta terus berusaha mengukuhkan perpaduan di peringkat dalaman parti.

“Kami juga percaya jika beliau diberi kepercayaan di barisan hadapan Pemuda beliaulah antara yang akan menjadi benteng hadapan jika institusi Presiden UMNO diserang oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut menambah, UMNO Bahagian Subang secara khususnya suatu ketika dahulu apabila berlaku isu ketegangan mengenai sokongan terhadap Presiden UMNO, bahagian itu tampil dengan membawa usul rasmi di Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Subang Tahun 2020 dan 2021.

“Pada ketika itu bahawa UMNO Bahagian Subang menyokong penuh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

“Ketika UMNO BN menjadi pembangkang sepanjang 22 bulan sejak 2018, UMNO Subang di bawah pimpinan Senator juga tidak pernah culas dalam usaha membantu UMNO Pusat di dalam gerak kerja pilihan raya.

Malah katanya, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), walaupun Parlimen Subang bukanlah diletakkan sebagai Parlimen sasaran untuk menang namun sebagai Timbalan Pengerusi BN Parlimen Subang beliau sentiasa menggesa agar bekerja bersungguh-sungguh setiap hari.

“Beliau mahu memastikan setiap jentera pilihan raya di peringkat PDM (pusat daerah mengundi) terus menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya ketika pilihan raya umum lalu,” katanya.

Justeru, Bahagian UMNO Subang mengharapkan sedikit ehsan dari Presiden parti, yang bijaksana agar pemimpin pelapis berpengalaman, berkarisma dan mempunyai hala tuju seperti Armand Azha, diberi ruang, ehsan dan tunjuk ajar bagi pemantapan kepimpinan di dalam usaha bersama mengembalikan kegemilangan UMNO di masa hadapan.

Armand Azha yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini mengesahkan bahawa beliau dipanggil Lembaga Disiplin parti tersebut pada 23 Februari ini di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui alasan kenapa dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Terdahulu, Armand Azha dikatakan meminta kebenaran ‘blessing’ kepada pucuk pimpinan terlebih dahulu untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan sayap parti sebelum mengumumkannya.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Pada 27 Januari lalu, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dipecat daripada parti.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff pula digantung keahlian selama enam tahun.

Author

Pilihan Editor