HomeBeritaPolitikBersatu akan hantar surat kepada SPRM, mohon batalkan pembekuan akaun

Bersatu akan hantar surat kepada SPRM, mohon batalkan pembekuan akaun

 

CYBERJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk memohon supaya pembekuan akaun parti itu dibatalkan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembatalan perintah itu penting dalam memastikan pentadbiran Bersatu berjalan lancar dan komitmen kewangan parti itu dapat dilunaskan mengikut jadual.

“Bersatu akan hantar surat hari ini kepada SPRM supaya perintah pembekuan akaun Bersatu ini dapat dibatalkan.

“Kami sebagai pertubuhan politik tiada duit nak bayar gaji pentadbiran bukan untuk sebulan tetapi sepanjang masa.

“Kalau kata untuk tiga bulan, susah pegawai saya tiada gaji nak maintain pejabat dan sebagaianya. Ia memberi kesan kelicinan pengurusan parti untuk negara dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung di Facebook rasminya pada Khamis.

Tambah beliau, tindakan SPRM itu turut menjejaskan persiapan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi kerana parti itu memerlukan dana untuk membiayai kempen pilihan raya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menafikan dakwaan bahawa Bersatu sebelum ini menerima wang daripada dana Pakej Ransangan Ekonomi.

“Merujuk bank akaun Bersatu dibekukan, saya ingin menegaskan Bersatu tidak menerima sebarang wang daripada dana Pakej Ransangan Ekonomi bernilai RM92.5 billion seperti didakwa sesetengah pihak.

“Pada masa ini SPRM telah memperolehi penyata kewangan dan dokumen berkenaan kewangan Bersatu, saya percaya siasatan SPRM dijalankan profesional akan membersihkan nama Bersatu,” ujarnya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan akaun parti Bersatu dibekukan.

Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.

Author

Pilihan Editor