HomeBeritaPolitikBersatu sedia terima KJ, mampu menangkan PN dalam PRN - Wan Fayhsal

Bersatu sedia terima KJ, mampu menangkan PN dalam PRN – Wan Fayhsal

CYBERJAYA: Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Akmal menjangkakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mampu memenangkan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Machang itu yakin PN mampu memenangi Selangor dan Negeri Sembilan jika Khairy bertanding menggunakan tiket PN.

Menurutnya, politik ini umpama persaingan di padang bole sepak dan kadang-kadang sebuah pasukan memerlukan ‘pemain import’.

“Politik ini umpama perlawanan bola sepak, kita kena import pemain luar untuk menang.

“Begitu dengan Khairy, bagi UMNO dia sudah tidak berguna tetapi bagi PN amat berguna demi masa depan Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Khairy dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sah dipecat UMNO pada Januari lalu.

Khairy baru-baru ini berkata, sedang mempertimbangkan untuk bertanding di Selangor selepas ditawarkan oleh sesebuah parti yang tidak dinamakan, untuk menjadi menteri besar sekiranya menang, lapor The Star.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Khairy mampu mewujudkan gelombang baharu untuk menarik pengundi muda dan atas pagar memberikan sokongan kepada PN.

“Kalau Umno anggap Khairy sebagai beban, tetapi Bersatu, kita anggap dia satu kelebihan yang mampu mencetuskan gelombang baru dalam politik Malaysia.

“Jadi kita sedia terima Khairy kalau dia sedia terima lamaran kita,” katanya lagi.

Walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan Khairy menyertai parti mereka, Wan Ahmad Fayhsal mengakui pihaknya tidak pasti bagaimana pendirian Khairy dan perkara itu perlu ditanyakan sendiri kepada beliau sendiri.

Author

Pilihan Editor