HomeNiagaDocto Aircond tawar Servis Rahmah

Docto Aircond tawar Servis Rahmah

CYBERJAYA: Pengusaha makanan dan rumah inap (homestay) rata-rata mengambil peluang menawarkan Menu Rahmah, Homestay Rahmah sejak pengumuman kerajaan harga menu semurah RM5 untuk membantu golongan sasar.

Terbaharu, usahawan yang menawarkan servis penyelenggaraan pendingin hawa, Docto Aircond Sdn Bhd dengan kerjasama S&A Bintang Sdn Bhd turut tidak melepaskan peluang menawarkan Servis Rahmah semurah RM50 untuk rakyat.

Ia adalah langkah bijak dalam menggalakkan pesaing menurunkan harga agar nikmatnya boleh dimanfaatkan khususnya golongan B40.

Pengasas Meta Docto Holding Berhad, Amirudin Abdullah berkata, untuk menikmati servis ini, pelanggan perlu mengikat perjanjian bersama atau kontrak selama dua tahun dengan Docto Aircond.

“Kos servis yang normal adalah sekitar RM100 hingga RM200 tetapi menerusi pakej ini, pelanggan cuma perlu membayar serendah RM50 bagi servis setiap enam bulan sekali.

“Menerusi pemerhatian kami dalam bidang ini lebih 20 tahun, setiap kediaman di bandar dan pinggir bandar memiliki sekurang-kurangnya dua hingga tiga unit pendingin hawa.

“Jadi dengan Servis Rahmah, pelanggan tak perlu lagi tercari-cari tukang servis lain kerana setiap enam bulan, kami akan menghubungi pelanggan dan hadir ke premis untuk servis,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian cawangan pertama di bawah Meta Docto Holding Berhad oleh Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selangor, Dr Ahmad Sabri Kassim di Cyberjaya pada Sabtu.

Turut hadir, Penasihat Korporat dan Strategi, Dato Seri Ahmad Khusairi Bani Hashim Al Haj dan Pengurus Pemasaran dan Jualan Docto Aircond Sdn Bhd, Ahmad Hamzah Mohd Salleh selaku pemilik cawangan pertama Docto Aircond.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Docto Aircond menyasarkan jualan RM150,000 sebulan iaitu tambahan jualan RM50, 000, hasil daripada kempen Servis Rahmah yang baharu dilancarkan.

“Ketika ini purata jualan yang dapat dicapai daripada ibu pejabat Docto Aircond di Bangi adalah RM100,000 sebulan sejak ia mula beroperasi tahun 2019 dan kami mahu peningkatan jualan RM50, 000 lagi sebulan menerusi pembukaan cawangan pertama ini.

“Cawangan pertama ini dibuka oleh kakitangan berdedikasi iaitu Ahmad Hamzah yang telah setia bersama Docto Aircond sejak tujuh tahun lalu.

“Perancangan sasar RM500 juta ke IPO pada tahun 2026 apabila lima lagi cawangan akan dibuka oleh kakitangan berpotensi sekitar Selangor.

“Ketika ini Docto Aircond telah memiliki 300 kakitangan dan diyakini mampu membuka 700 peluang kerja mahir hingga tahun 2025.

“Kakitangan yang mahir akan diberi peluang untuk belajar dalam bidang pengurusan, pemasaran, pentadbiran sehingga mereka mampu membuka cawangan sendiri, ” katanya lagi.

 

Author

Pilihan Editor