HomeBeritaHari Kekasih, pelajar IPT dicekup gara-gara 'dating' dalam gelap tepi pantai

Hari Kekasih, pelajar IPT dicekup gara-gara ‘dating’ dalam gelap tepi pantai

JASIN: Saat indah seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bersama pasangannya yang berdua-duaan di pinggiran pantai Siring, Merlimau, pada malam Hari Kekasih bertukar ‘suram’ apabila dicekup penguatkuasa tengah malam tadi.

Pelajar wanita berusia 20 tahun dan kekasihnya 22 tahun itu antara lima pasangan yang ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena sambutan Hari Kekasih.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan terbabit ditahan selepas dilihat duduk berdua-duaan dalam keadaan gelap di pantai berkenaan tanpa mempunyai hubungan sah suami isteri.

“Hasil soal siasat wanita tersebut merupakan pelajar IPT dan mengaku mereka menjalinkan hubungan sebagai kekasih sejak dua tahun lalu.

“Pasangan itu memberi alasan hanya duduk melepak selepas makan malam bersama, namun ketika diserbu kedua-duanya didapati duduk begitu rapat tanpa mempunyai ikatan yang sah,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas tamat melakukan operasi sekitar pukul 4 pagi tadi.

Tambah beliau, pihaknya turut menahan dua pasangan lain dalam serbuan di dua buah hotel di sekitar Banda Hilir.

“Kita juga menahan dua pasangan berusia antara 25 tahun hingga 37 tahun kerana berkurung tanpa sebarang dokumen perkahwinan yang sah.

“Satu pasangan melibatkan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat kurier berusia 28 tahun dengan kekasihnya 25 tahun di sebuah hotel di Ujong Pasir.

“Sepasang lagi adalah pasangan warga asing iaitu warga Bangladesh dengan warga Indonesia di sebuah hotel terkenal di Taman Melaka Raya,” katanya.

Maklum beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 dan Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Author

Pilihan Editor