HomeBeritaPolitikJangan baling batu sembunyi tangan, tak gentleman - Armand Azha

Jangan baling batu sembunyi tangan, tak gentleman – Armand Azha

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah membayangkan ada pihak cuba jatuhkannya dengan cara kotor agar dikecualikan daripada bertanding pada pemilihan kali ini.

Namun, selepas dipanggil menghadap hari ini, Lembaga Disiplin parti tidak menghalang dirinya untuk kekal bertanding.

Beliau yakin Lembaga Disiplin adil dan berintegriti dalam memberi penilaian terhadap usaha pihak tertentu untuk memburukkan reputasinya.

“Saya dipanggil Lembaga Disiplin untuk membela diri berhubung beberapa pertuduhan tatatertib membabitkan pemilihan parti.

“Saya sebagai seorang pemimpin dan memegang konsep kepartian, saya sudah memberikan dokumen pembelaan kepada lembaga disiplin dan beberapa soalan ditanyakan (mereka, sudah saya jawab).

“Tohmahan ini timbul selepas saya menyatakan pendirian untuk bertanding, mereka kena ‘gentleman’ jangan baling batu sembunyi tangan sahaja,” katanya pada sidang media sejurus selesai menghadap Lembaga Disiplin UMNO di Menara Dato Onn hari ini.

Armand Azha berkata, biarpun Lembaga Disiplin parti masih membuat penilaian berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, beliau masih boleh menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding pada pemilihan UMNO.

“Saya bertanya juga kepada Lembaga Disiplin sama ada saya boleh terus menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO dan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Subang.

“Kenyataan Lembaga Disiplin, mereka tidak ada halangan untuk saya menyerahkan borang pencalonan kerana Lembaga Disiplin perlu melihat semua sudut.

“Tuduhan yang dikenakan terhadap saya, lebih kepada tidak membenarkan saya bertanding,” katanya.

Ditanya apakah pertuduhan sebenar yang dikenakan terhadapnya, Armand Azha sekadar berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Armand Azha sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.

Beliau bakal berdepan seorang lagi calon yang menawarkan diri untuk jawatan sama iaitu, Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Terdahulu jam 3 petang tadi, Armand dilihat tiba di ibu pejabat parti itu di Menara Dato Onn di sini, bagi berdepan dengan Lembaga Disiplin UMNO.

Sejurus tiba, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang terus menaiki lif ke tingkat tujuh, lokasi di mana Lembaga Disiplin terbabit bermesyuarat.

Media sebelum ini melaporkan, Armand Azha mengesahkan beliau dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Bagaimanapun, setakat ini punca sebenar Armand Azha dipanggil menghadap Lembaga Disiplin UMNO masih belum diketahui.

Pada 27 Januari lalu, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dipecat daripada parti itu.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff pula digantung keahlian selama enam tahun.

 

Author

Pilihan Editor