HomeBeritaKamil Othman dilantik pengerusi baharu Finas

Kamil Othman dilantik pengerusi baharu Finas

 

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan, Datuk Kamil Othman dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu.

Fahmi mengumumkan pelantikan itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kamil menggantikan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang tamat tempoh perkhidmatannya pada Disember lepas.

Menerusi perkongsian itu, Fahmi menyifatkan Kamil seorang figura yang tidak asing lagi dalam industri kerana pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Finas.

“Tahniah buat Datuk Kamil Othman atas lantikan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu.

“Minggu hadapan saya atur pertemuan untuk bincang beberapa perkara termasuk hala tuju Finas serta meneliti dapatan dan teguran laporan Ketua Audit Negara untuk penambahbaikan dan pembetulan,” katanya.

Fahmi turut memaklumkan pelantikan Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas akan dibuat secepat mungkin.

Kamil sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Penasihat Industri Kreatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia dari Januari 2017 hingga Ogos 2018 dan pengarah Finas dari 2014 hingga 2016. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor