CYBERJAYA: Berita tergempar mengenai penceraian pelakon, Hafidz Roshdi dan isterinya, Shuhada Mat Shukri nyata mencuri tumpuan masyarakat di Malaysia.
Mana tidaknya, seperti diketahui umum pasangan tersebut menjalin hubungan cinta sejak zaman belajar lagi namun hubungan mereka terlerai kerana dipercayai atas faktor orang ketiga.
Rata-rata warga maya menzahirkan rasa simpati atas ujian yang menimpa Shuhada itu hingga tampil memberi sokongan penuh terhadap wanita berkenaan.
Menerusi status yang diulang siar dalam Instagram Story milik Shuhada, seorang warga maya meminta dia untuk ‘bangkit’ dan menjalankan perniagaan menerusi akaun media sosial.
“@shushukriii pergi buka akaun TikTok, kami wanita nak beri sokongan pada awak dan anak-anak dekat TikTok dan Instagram.
“Buat sahaja apa-apa perniagaan kami nak sokong,” katanya.
Dalam pada itu, netizen turut berpesan supaya Shuhada tidak membiarkan dirinya tertindas dengan golongan lelaki kerana mempercayai setiap wanita itu mampu ‘terbang’ lebih tinggi.
“Jangan biar diri ditindas, kau boleh pergi lebih jauh. Ayuh, bangkit!” ujarnya.
Sokongan yang diberi oleh netizen itu membuatkan Shuhada terharu dan mendoakan segala kebaikan kepada semua orang yang menyokongnya.
“Terima kasih Ya Allah, semoga berbaliklah segala kebaikan untuk semua yang mendoakan Shu dan anak-anak,” katanya.
Semalam, media tempatan melaporkan Hafidz didakwa sudah menceraikan isterinya dengan talak satu, bersaksikan keluarga.
Setakat ini, Hafidz masih gagal dihubungi untuk mengesahkan dakwaan tersebut.