HomeBeritaKanak-kanak hampir putus jari, tersepit mesin proses santan

Kanak-kanak hampir putus jari, tersepit mesin proses santan

 

TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menahan kesakitan apabila tangan kanannya tersepit mesin memproses santan kelapa di Taman Seri Bahagia, di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan, kejadian itu berlaku sewaktu bapa mangsa sedang menjalankan kerja-kerja memproses santan kelapa di rumah mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.32 pagi berhubung insiden terbabit.

Rentetan itu, lapan anggota BBP Teluk Intan diatur gerak ke lokasi kejadian dan sejurus anggota tiba di lokasi kejadian, operasi segera dijalankan bagi mengeluarkan tangan mangsa.

“Anggota bertindak memotong bahagian sisi mesin memproses santan tersebut sehingga tangan kanan kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan.

“Mangsa yang hampir putus tiga jari tangan kanan diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya seperti dilapor Utusan.

Author

Pilihan Editor