HomeBeritaPeminat cilik petah berbicara raih perhatian Dr Mahathir

Peminat cilik petah berbicara raih perhatian Dr Mahathir

CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi keterujaannya ditemu ramah oleh seorang peminat cilik, Umar Amirul Sharul Haiccal menerusi satu rancangan di YouTube.

Menerusi hantaran di Instagram rasmi, Dr Mahathir menyatakan Umar yang berusia 12 tahun itu amat petah berbicara ketika bersamanya.

“Tanya Umar, macam mana nak capai umur 97 tahun. Saya jawab kena tunggu lagi 85 tahun lagi lah, baru tahu macam mana boleh capai. Dalam temu ramah tadi, saya cukup seronok dengar celoteh Umar dan dia begitu petah bercakap.

“Banyaklah soalan ditanya umpamanya bagaimana saya di zaman bersekolah, apa pesanan ibu saya, kenapa bina KLCC, Putrajaya, KLIA, pandangan bolehkah jadi ‘influencer’ saja tanpa belajar dan banyak lagi,” kongsi Dr Mahathir.

Menarik perhatian beliau apabila Umar bertanyakan tentang ‘helmet’ (The Mandalorian dan Darth Vader) Star Wars yang berada dalam ruangan pejabarnya.

“Sebenarnya ‘helmet’ ini dicetak mengguna 3D-printer. Saya berminat dan beli ‘printer’ ini untuk buat sendiri beberapa barang, cumanya perlu belajar program dan sabar tunggu hingga siap. Kalau dahulu saya ukir kayu guna pisau dan tangan, sekarang semuanya pakai mesin. Lebih mudah. Cuma perlu faham dan mahir untuk program mesin saja.

“Semasa bergambar di hujung temu ramah, Umar minta posing dengan ‘mini love’. Sengaja saya usik minta jelaskan apa itu ‘mini love’. Yang saya faham, rapatkan ibu jari dan jari telunjuk itu simbol minta duit.

“Umar terangkan simbol ‘love’ asalnya besar, kena guna dua tangan untuk cantum jadikan ‘love’, tapi ada orang cipta pula simbol ‘love’ dengan dua jari. Pandai dia menjawab,” ujarnya.

Dalam berkongsi kisah temubual bersama Umar, Dr Mahathir turut menitipkan pesanan buat anak kecil itu.

“Rajin-rajinlah belajar supaya masa depan lebih terjamin. Semoga impiannya tercapai suatu hari nanti, insya-Allah,” katanya.

Author

Pilihan Editor