HomeHiburanKeperibadian Watie persis arwah Siti Sarah, Shuib rancang jalin hubungan ke ‘next...

Keperibadian Watie persis arwah Siti Sarah, Shuib rancang jalin hubungan ke ‘next level’

 

CYBERJAYA: Sikap penyayang yang ditonjolkan ahli perniagaan, Watie Hanifiah dalam menjaga kakaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), nyata membuatkan pelawak tanah air, Shuib tertawan.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhamad, 39, kehadiran Watie dalam hidupnya itu disifatkan seperti satu ketentuan dari tuhan.

Malah, Shuib turut akui selesa berkawan dengan Watie yang turut mempunyai keperibadian seperti Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raisuddin.

Penyampai radio Sinar FM turut menyatakan bahawa ingatannya terhadap arwah Siti Sarah tidak pernah lenyap namun, dia percaya kehadiran Watie dalam hidupnya mempunyai sebab tersendiri.

“Sampai ke hari ini saya masih tercari-cari hari yang saya tidak teringatkan Sarah. Jadi, bila ada orang yang datang kepada kita (Watie), saya pasti ada sebab-sebabnya.

“Zalimlah saya kalau saya tidak menghargai orang itu. Saya tidak tahu masa depan macam mana, tambah pula ibu saya boleh yakinkan saya. Jadi saya rasa itu adalah jawapan paling besar untuk saya,” katanya seperti dilapor mStar.

Mengulas lanjut mengenai hubungannya bersama Watie, Shuib menyatakan dia dalam perancangan untuk ke fasa seterusnya.

“Insya Allah, kalau ikutkan mak saya tu nak cepat sebab dia fikirkan Ayash (anak bongsu Shuib).

“Ayash dah makin besar. Sekarang Ayash pun dah pandai jalan. Watie pun tak ada masalah sebab dia pun pernah jaga Ayash.

“Cuma apa yang saya boleh katakan, kami berharap yang terbaik dan mohon doa daripada semua. InsyaAllah bila sudah ada tarikhnya saya pasti akan umumkan,”ujarnya.

Untuk rekod, Shuib dah Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Bagaimanapun, Siti Sarah meninggal dunia pada Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.

Author

Pilihan Editor