HomeHiburanKolaborasi unik! Jom meriahkan konsert Nidji x Budi Doremi di KL 19...

Kolaborasi unik! Jom meriahkan konsert Nidji x Budi Doremi di KL 19 Mac ini

 

CYBERJAYA: Kumpulan muzik popular dari Indonesia, Nidji dan penyanyi solo, Budi Doremi bakal menggegarkan ibu kota menerusi konsert Dream Collaboration pada 19 Mac ini.

Konsert yang akan berlangsung di Zepp, KL yang dianjurkan oleh Inspire itu merupakan kolaborasi pertama antara Nidji dan Budi di atas satu pentas.

Nidji yang popular dengan lagu ‘Hapus Aku’ turut menzahirkan keterujaannya untuk kembali beraksi di Malaysia dengan menampilkan lagu baru seperti Wadoow, Abu-Abu dan Segitiga Cinta.

“Untuk melepas rindu bagi para penggemar, Nidji akan kembali menghibur para Nidjiholic setelah sebelumnya hadir di Malaysia pada tahun 2019.

“Nidji juga sempat melancar ulang lagu ‘Bila Aku Jatuh Cinta’ dengan susunan baru, iaitu dengan menambahkan sentuhan saksofon yang menghanyutkan,” maklum jurucakap kumpulan terbabit dalam satu kenyataan.

Manakala Budi yang mula dikenali ramai menerusi lagu popularnya, ‘Tolong’, turut bersemangat dan kini sedang membuat persiapan bagi memberikan persembahan terbaik buat peminat di Malaysia.

Malah, Budi yang sudah lebih 12 tahun berkarya dalam musik pop regenerasi turut menyatakan bahawa kolaborasi bersama Nidji adalah satu penghormatan buat dirinya yang juga sebahagian daripada peminat kumpulan band itu.

“Dari kecil sejak usia 5 tahun lagi saya nak bergandingan dengan Nidji. Dan ya, impian untuk collaboration dengan Nidji tercapai juga,” katanya pada sidang media Dream Collaboration Festival Nidji x Budi Doremi yang diadakan secara dalam talian pada Rabu.

Sementara itu, pihak penganjur, Inspire berharap gandingan unik antara dua pemuzik ini dapat menawan hati para peminat di Malaysia dan sehingga kini jualan tiket bagi konsert itu mendapat sambutan hangat.

Bagi anda yang berminat untuk menyaksikan persembahan mantap daripada Nidji dan Budi Doremi, tempahan tiket kini boleh dibuat menerusi laman web Ticket2u.

Harga tiket bermula daripada RM214 (free standing) sehingga RM4,694 (Royal Box / 8pax).

Author

Pilihan Editor