HomeBeritaKPN diminta 'lebih mesra media' - Saifuddin

KPN diminta ‘lebih mesra media’ – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk mempertimbangkan cadangan mengadakan semula sidang media secara berkala kepada pihak media.

Saifuddin Nasution berkata, beliau menerima banyak maklum balas daripada rakan-rakan media mengenai ketiadaan sidang media berkala, sehingga menyukarkan mereka mendapatkan perkembangan terbaharu berkenaan sesuatu kes yang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Apa punca sidang media kurang? Ia bermula ketika era pentadbiran mantan KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador di hujung perkhidmatannya beliau saban hari mengadakan sidang media menyelar pihak berkaitan yang cuba jatuhkannya lantas melarang sidang media oleh pihak bawahannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga terpaksa akur dengan arahan mantan ketika itu walaupun telah meraih banyak kejayaan dalam operasi rampasan dadah.

Apa pentingnya sidang media KPN? Ia bukanlah untuk wartawan semata-mata sebaliknya perkhabaran dari pucuk pimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara memaklumkan kepada rakyat dan Raja-raja Melayu berkaitan kejayaan dan kesulitan yang berlaku dalam negara.

Rakyat boleh faham, memahami peraturan dan memberi maklum balas agar sesuatu tindakan itu akan jadi lebih baik.

Contoh dalam isu memerangi Ah Long (ceti haram), memerangi dadah dan pemerdagangan manusia.

Berbalik kepada ‘permintaan’ Saifuddin, beliau berharap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata kepada pemberita selepas program sesi libat urus media bersama Menteri Dalam Negeri pada Rabu malam.

Saifuddin Nasution berkata, melalui cara itu, beliau berharap ia dapat merapatkan hubungan antara PDRM dan media sebagai rakan strategik agensi itu.

Mengulas mengenai penggunaan kamera badan kepada anggota polis, Saifuddin Nasution berkata, KDN mempunyai peruntukan dan bahagian perolehan sedang memuktamadkan spesifikasinya.

“Apabila penggunaan kamera badan dilaksanakan, anggota polis akan mengguna pakai gajet berkenaan. Saya percaya penggunaan kamera badan akan meningkatkan integriti PDRM, (membantu) mengumpul bukti dan sebagai peringatan kepada mereka (anggota), bahawa mereka diawasi,” katanya.

Mengenai isu pakaian orang awam ketika datang ke pejabat atau balai polis, Saifuddin Nasution berkata perkara berkenaan telah selesai dan tiada isu berbangkit.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan anggota polis yang menghalang orang awam membuat laporan polis dan pada masa sama masyarakat awam perlu ada elemen kesopanan ketika berurusan rasmi dengan PDRM,” katanya.

Pada Januari lepas, seorang wanita berang selepas tidak dibenarkan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, berikutan tidak berpakaian sopan.

Author

Pilihan Editor