HomeBeritaLetak makanan di lantai, kedai bernajis tikus! DBKL arah tutup 4 premis...

Letak makanan di lantai, kedai bernajis tikus! DBKL arah tutup 4 premis di Seputeh

SEPUTEH: Tindakan meletak bahan makanan secara terus di atas lantai serta terdapat urungan lipas dan najis tikus menjadi antara punca penutupan empat buah premis makanan di jalan Kuchai Maju, di sini, berkuat kuasa hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, satu Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) telah dijalankan terhadap 27 premis di kawasan terbabit, semalam.

“Dengan kekuatan 31 orang anggota daripada Pejabat Kesihatan dan Penguatkuasaan, operasi telah melibatkan 27 premis makanan di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan terhadap 25 premis (dua tutup), empat premis telah ditutup berkuatkuasa 17 Februari 2023 kerana gagal mencapai tahap kebersihan.

“Manakala sejumlah 42 notis kompaun di bawah UUK PPM (WPKL) 2016, UUK Pengendali Makanan 1979 dan Akta Jalan, Parit & Bangunan 1976 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” maklum DBKL di Facebook rasminya pada Jumaat.

Menurut DBKL, penutupan premis terbabit dilaksanakan di bawah UUK 28(1) UUKPPM (WPKL) 2016 kerana hasil pemeriksaan mendapati, pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan tifoid atau Kursus Asas Penyediaan Makanan.

Malah, terdapat majikan yang mengambil pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah serta menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Selain itu, terdapat premis yang didapati tidak memasang perangkap minyak dan tidak diselenggara dengan sempurna.

Lantai dapur serta tempat penyediaan makanan kotor, berdaki hitam dan terdapat sisa makanan juga menjadi faktor premis-premis terbabit diarah tutup serta-merta.

“DBKL akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa kesemasa bagi memastikan pengendali makanan mematuhi peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor