HomeBeritaPolitikMuhyiddin sudah jumpa SPRM, isu dana RM300 juta

Muhyiddin sudah jumpa SPRM, isu dana RM300 juta

CYBERJAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berkaitan isu siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima parti Bersatu.

Presiden Bersatu itu hadir memberi keterangan berhubung kewangan parti di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pagi semalam.

Malah, turut dilaporkan bahawa keterangan beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan juga sudah diambil sebelum ini.

“Sehubungan itu, kertas siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Bersatu daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19 dipercayai di fasa terakhir untuk dilengkapkan sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

“Kertas siasatan sudah pun dilengkapkan dan keputusan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini sama ada saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan atau tidak terhadap beberapa individu,” kata sumber seperti dilapor Harian Metro pada Jumaat.

Untuk rekod, pada 1 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa akaun milik Bersatu dibekukan.

Menurut beliau, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram dan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Author

Pilihan Editor