KUANTAN: Pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah iaitu penjualan makanan siap dimasak pada harga RM5 di Pahang akan dilancarkan pada minggu hadapan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh.
Beliau berkata, sesi libat urus sedang dilaksanakan dengan pihak terlibat termasuk Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia (PERTOM) di Pahang, selain pihaknya turut mengalu-alukan lebih banyak pengusaha makanan di negeri ini untuk turut serta.
Selain itu, Fuziah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam  Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga sedang mengenal pasti platform untuk meletakkan direktori kedai yang melaksanakan Menu Rahmah bagi memudahkan orang ramai mengetahui keberadaan kedai terlibat.
Menurut Fuziah, KPDN juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu melaksanakan konsep Rahmah selain daripada penjualan makanan, selepas inisiatif Menu Rahmah mendapat sambutan sangat baik sehingga terdapat cadangan supaya konsep serupa diperluas kepada barangan lain.
“Kita tahu ramai yang susah pada masa ini dan kos sara hidup bukan hanya melibatkan makanan tetapi turut melibatkan perkara lain dan perkataan Rahmah itu sendiri bermaksud kasih sayang.
“KPDN sentiasa bersedia untuk mengadakan libat urus dengan pemain industri atau mereka yang terlibat untuk memastikan kos sara hidup dapat kita kawal,” katanya kepada pemberita selepas melawat Restoran Nasi Ayam Papa di Indera Mahkota di sini hari ini.
Restoran itu merupakan perniagaan terbaharu di Pahang yang memperoleh lesen francais daripada KPDN iaitu pada November tahun lepas dan kini telah mempunyai tiga cawangan di Kuantan, yang diharapkan menjadi contoh kepada usahawan lain untuk turut sama meningkatkan perniagaan mereka.
Fuziah juga memaklumkan setakat 2022, sebanyak 1,166 francaisor daripada pelbagai sektor telah berdaftar dengan KPDN dengan di Pahang, terdapat sembilan francaisor dan 27 francaisi.
Beliau berkata, KPDN menyasarkan industri francais berkembang antara 20 hingga 30 peratus pada tahun ini dengan pelbagai bantuan dan inisiatif disediakan kepada usahawan yang berminat.
Katanya industri francais telah memperoleh RM30.1 bilion nilai jualan pada 2021. – BERNAMA