HomeBeritaRM6.7 bilion setiap tahun, kerajaan putuskan untuk 'reform' TVET

RM6.7 bilion setiap tahun, kerajaan putuskan untuk ‘reform’ TVET

PUTRAJAYA: Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia akan melalui beberapa pembaharuan (reform), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.7 bilion setiap tahun untuk TVET yang menimbulkan keprihatinan kerajaan.

“Kita amat prihatin terhadap perbelanjaan yang cukup besar, yang telah dibelanjakan setiap tahun, yang mana RM6.7 bilion untuk mengendalikan pusat-pusat TVET.

“Pihak kerajaan melalui 12 kementerian dan sebuah jabatan telah mengendalikan sebanyak 642 pusat TVET yang menawarkan lebih sedikit 6,000 kursus.

“Kami telah mengambil keprihatinan terhadap kursus-kursus yang bertindih, di mana terdapat kementerian dan agensi yang terpaksa menawarkan kursus yang sama, yang melakukan perebutan memperolehi pelajar bagi memasuki pusat-pusat TVET berkenaan.

“Terdapat pusat TVET yang melahirkan lepasan pelajarnya, di mana kebolehpasaran berada di tahap yang rendah. Untuk itu, mesyuarat hari ini telah mengambil beberapa keputusan untuk ‘reform’,” kata Zahid.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara yang diadakan di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.

Antara ‘reform’ yang disebut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu ialah mewujudkan sekretariat tetap bagi menyelaraskan pertindihan kursus yang berlaku.

“Kita mewujudkan sekretariat tetap bagi menyelaraskan pertindihan yang berlaku dengan turut menterlibatkan pihak swasta yang menjadi pemain industri untuk menjalin perkongsian pintar dengan pusat-pusat TVET yang bersesuaian dengan industri berkenaan

“Kita akan minta supaya pemain industri itu dapat memberikan latihan kepada pensyarah-pensyarah yang telah bekerja di pusat TVET itu supaya bersesuaian dengan kemahiran yang diperlukan dalam industri itu.

“Kita juga mahu bahawa pihak swasta itu memberikan peralatan dan perkakasan yang sesuai untuk pengajaran,” jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Author

Pilihan Editor