GEORGE TOWN: Nasi Kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah, akan mula menawarkan Menu Rahmah RM5 bermula Mac ini.
Pengurus Nasi Kandar Hameediyah cawangan Sungai Ara, Muhd Salim Ahmed Seeni Parkir berkata, sebagai permulaan, menu itu hanya ditawarkan di dua cawangan sahaja, iaitu di cawangan Sungai Ara dan Lebuh Campbell.
“Menu Rahmah akan ditawarkan setiap hari bermula 5 petang hingga 10 malam. Hidangan ini akan ditawarkan pada waktu tertentu setiap hari dan tidak menyasarkan jumlah jualan,” katanya kepada wartawan selepas pelancaran Menu Rahmah di Nasi Kandar Hameediyah cawangan Sungai Ara hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan.
Mengulas lanjut, Muhd Salim berkata, Menu Rahmah yang akan dihidangkan terdiri daripada sepinggan nasi berkuah, seketul ayam, dan sayur-sayuran atau sepinggan nasi berkuah, daging lembu dan sayur-sayuran dan akan memperuntuKkan 15 ekor ayam dan antara lapan hingga 10 kilogram daging setiap hari untuk menu tersebut.
Sementara itu, S. Jegan meminta supaya lebih banyak kedai makan menyertai inisiatif kerajaan itu, dalam membantu mengurangkan kos sara hidup golongan B40 ini dengan menawarkan Menu Rahmah di kedai makanan mereka.
Jegan berkata, ketika ini hanya 19 restoran dan kedai makan di sekitar Pulau Pinang menyertai program Menu Rahmah bagi golongan B40 ini. – BERNAMA