HomeBeritaMahkamah & JenayahBayi 3 bulan maut, bapa didenda RM10,000

Bayi 3 bulan maut, bapa didenda RM10,000

KUALA LUMPUR: Seorang bapa didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas kecuaian yang menyebabkan kematian bayinya berusia tiga bulan pada awal bulan lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Amirul Hakim Muhamad Fadzil, 27, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan salah terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Pada masa sama, tertuduh yang tidak diwakili peguam turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin tanpa cagaran RM5,000.

Tertuduh turut diperintah menjalani khidmat masyarakat 120 jam bermula hari ini, lapor Kosmo pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, Amirul Hakim didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian bayi lelakinya akibat kecederaan pada kepala, di sebuah rumah pangsapuri di Gombak, pukul 4.15 petang pada 3 Januari lalu.

Kesalahan tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar.

Author

Pilihan Editor