AMPANG: Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat semula kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) pelancong China dan India agar tidak perlu melalui negara ketiga sebelum memasuki Malaysia.
Presiden MITA, Uzaidi Udani berkata, ketika ini pelancong China dan India perlu melalui negara ketiga iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand sebelum masuk ke negara ini.
“Polisi berkenaan dibuat atas dasar keselamatan iaitu boleh mohon VOA ke Malaysia setelah melalui tapisan keselamatan di empat negara berkenaan.
“Saya berpendapat, KDN dan Jabatan Imigresen cukup berkaliber untuk memantau kemasukan pelancong asing ini agar tidak lolos melakukan perkara lain.
“Isunya apabila mereka perlu ‘singgah’ ke negara lain, maka mereka akan berbelanja terlebih dahulu di negara berkenaan sebelum masuk Malaysia dan ia satu kerugian sektor pelancongan negara ini.
“Seolahnya penat-penat kita promosikan Malaysia tetapi mereka terpaksa singgah ke negara lain dahulu dan berbelanja di sana sebelum masuk ke Malaysia, ia antara punca peningkatan pelancong ke Bali, Indonesia.
“VOA adalah jalan paling cepat dan berkesan untuk mendapatkan ketibaan yang banyak meningkatkan pendapatan rakyat, penerbangan, bas, van, kereta, bot, ke pulau-pulau akan aktif semula,” katanya pada sidang media VOA: Satu-satunya cara capai 15 juta pelancong tahun 2023.
Turut hadir, Timbalan Presiden MITA, Mint Leong.
Indonesia ketika ini sudah mencatat rekod 200,000 pelancong dari India hadir ke negara itu pada 2022.
Mengikut statistik, pelancong China membelanjakan lebih RM1 trilion sejak tahun 2019 menerusi misi pelancongan mereka ke seluruh dunia khususnya Asia Tenggara.
Dalam pada itu Uzaidi berkata, sewajarnya tiada masalah jika pelancong berkenaan datang secara berkumpulan di bawah satu agensi, agensi berkenaan wajar bertanggungjawab memastikan mereka masuk dan keluar secara sah.
“Jadi jika apa-apa yang tidak diingini berlaku sewajarnya ada undang-undang boleh dikenakan kepada agensi berkenaan dan bukannya dengan menyekat semua pelancong lain.
“Mungkin tapisan keselamatan perlu lebih ditingkatkan bagi pelancong yang mahu masuk secara sendirian tanpa kumpulan atau agensi pelancongan,” katanya.