HomeGlobalThailand larang sekolah, universiti buang pelajar hamil

Thailand larang sekolah, universiti buang pelajar hamil

 

BANGKOK: Seluruh sekolah, kolej dan universiti di Thailand dilarang memindahkan atau membuang pelajar perempuan yang hamil.

Perkara itu dilaksanakan kerajaan Thailand sebagai sebahagian inisiatif untuk melindungi hak golongan terbabit, lapor Firstpost.

Perkara itu juga sudah termaktub menerusi satu persetujuan yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi, Anek Laothamatas dan Menteri Pelajaran, Treenuch Thienthong, kemudiannya diterbitkan dalam Warta Diraja pada Sabtu lalu.

Dalam peraturan itu, tiada institusi pendidikan kerajaan dibenarkan untuk membuang pelajar perempuan hamil atau dipindahkan ke sekolah lain tanpa persertujuan mereka.

Peraturan sama turut menyatakan bahawa larangan sedemikian adalah bagi menjamin hak pelajar untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.

Dalam pada itu, kerajaan Thailand turut merancang beberapa kemajuan sebagai usaha mengurangkan bilangan kehamilan remaja perempuan.

Sumber kementerian melaporkan bahawa selepas Akta Pencegahan dan Penyelesaian Kehamilan remaja 2016 dilaksanakan, kadar keciciran dalam kalangan pelajar perempuan yang hamil semakin menurun.

Hanya 13.7 peratus pelajar perempuan hamil menghadiri kelas pada 2016 berbanding 53.5 peratus yang tercicir.

Bagaimanapun, kerajaan Thailand masih perlu mencari solusi bagi memastikan kadar kehamilan dalam lingkungan umur 15 hingga 19 tahun dapat diturun kepada 15 bagi setiap 1,000 orang manakala dalam kumpulan umur 10 hingga 14 tahun kepada 0.5 bagi setiap 1,000 orang.

Author

Pilihan Editor