HomeBeritaPegawai polis kurang arif perundangan punca kes 'scammer' tidak didakwa - Musa...

Pegawai polis kurang arif perundangan punca kes ‘scammer’ tidak didakwa – Musa Hassan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa kebanyakan laporan mangsa sindiket skim penipuan pelaburan tidak diteruskan ke peringkat pendakwaan berikutan pegawai dan anggota polis kurang arif dengan sistem perundangan negara.

Katanya, kemungkinan kekurangan keanggotaan juga antara kekangan laporan siasatan tidak dapat diselesaikan dengan baik.

“Kadang-kadang anggota di bawah, dia tidak faham tentang perundangan, (atau) kemungkinan tak cukup keanggotaan untuk jalankan siasatan.

“Saya telah maklumkan di bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengenai isu ini, untuk pegawai terus menghubungi pengadu supaya laporan dapat disiasat,” katanya kepada media ketika ditanya wartawan mengenai laporan siasatan mangsa dijalankan di bawah tindakan sivil, bukan jenayah komersial.

Bagaimanapun, Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) itu juga berkata, masyarakat diingatkan supaya tidak meletakkan stigma bahawa polis tidak menjalankan siasatan terhadap laporan mangsa.

“Polis hanya jalankan siasatan, sama ada hendak dituduh di mahkamah atau tidak, ia adalah bidang kuasa Peguam Negara, atau kekurangan keterangan kukuh di peringkat siasatan,” katanya.

Justeru Musa berkata, beliau sendiri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Undang-undang, dalam tempoh terdekat, bagi membincangkan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Katanya, ia melibatkan Seksyen 4(1) iaitu memberikan tempoh reman selama 21 hari dan Seksyen 4(2) iaitu membolehkan tempoh reman dilanjutkan selama 38 hari, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap jenayah keganasan dan sindiket haram.

“Saya diberitahu ada kekangan undang-undang untuk ambil tindakan terhadap mereka yang terlibat, kerana ada yang dah berlaku lama, mangsa pun tak pernah jumpa ketua sindiket melainkan orang tengah.

“Jadi, kita perlu undang-undang pencegahan seperti POCA kerana kita ada kekangan dalam aspek pencegahan, semasa siasatan,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama delegasi MHO termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim dengan mangsa skim penipuan pelaburan Zutello mengadakan kunjungan ke Ibu Pejabat Polis JSJK Bukit Aman, di sini.

Untuk rekod, MHO mengenal pasti seramai 10,000 individu dikenal pasti menjadi mangsa penipuan satu sindiket pelaburan berasaskan insuran perlindungan dengan kerugian lebih RM3 bilion.

Author

Pilihan Editor