KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Razman Zakaria selesai apabila Pesuruhjaya PAS Perak itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri di Mahkamah Tinggi Taiping hari ini.
Saman berkenaan berhubung ucapan Razman yang didakwa mengaitkan Pengerusi Pakatan Harapan itu membawa agenda songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Razman selaku defendan tunggal, yang membacakan kenyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin berkata, ucapannya itu telah menyinggung perasaan dan memfitnah Anwar.
“Saya ingin menzahirkan bahawa ungkapan saya telah mencetuskan keburukan moral dan menjejaskan reputasi baik Yang Amat Berhomat (Anwar) serta menyebabkan rasa malu, kerosakan dan kesusahan yang teruk dan tidak terukur.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menarik balik semua fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada Yang Amat Berhomat dan menyatakan kekesalan serta permohonan maaf saya yang tidak terhingga atas ungkapan tersebut. Saya berjanji tidak akan mengulangi ungkapan itu dalam apa jua bentuk, cara atau sebagainya pada masa hadapan,” katanya.
Mahkamah kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak.
Anwar diwakili peguam Datuk S. N. Nair, Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Datuk Naran Singh mewakili Razman.
Nair ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa anak guamnya menerima permohonan maaf itu.
Anwar selaku plaintif memfailkan saman itu pada 5 Disember 2022, mendakwa pada 6 November tahun lepas defendan telah memberikan ucapan tersebut semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 di pasar malam Tebuk Pancur.
Beliau berkata, ucapan berkenaan disiarkan secara langsung melalui klip video di akaun Facebook defendan, yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 kali perkongsian dan melebihi 2,600 komen sehingga hari ini.
Menurut Presiden PKR itu, siaran video langsung Facebook tersebut kemudian diterbitkan menerusi artikel bertarikh 6 Nov 2022 dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, di dalam sebuah portal berita.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kata-kata fitnah tersebut dibuat untuk menjatuhkan reputasinya dan dakwaan dalam artikel berkenaan adalah tidak benar, kerana plaintif sentiasa memperjuangkan ajaran dan nilai teras Islam selain mendakwa ia dibuat bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya, dengan menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian terhadapnya dan partinya semasa tempoh berkempen untuk PRU15.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan serta memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada terus mengungkapkan atau menyebabkan penerbitan artikel memfitnah yang serupa selain menuntut kos, faedah dan relif lain yang sesuai. – BERNAMA