HomeBeritaPM, KKM, KPWKM senada perkasa hak kanak-kanak

PM, KKM, KPWKM senada perkasa hak kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sekali lagi akan menggesa penubuhan Jabatan Kanak-kanak ke Kabinet, Jumaat ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan itu sudah dikemukakan di Kabinet sebelum ini, namun ditolak atas alasan peruntukan terlalu besar.

“Saya akan kemukakan cadangan kepada mesyuarat Kabinet Jumaat ini sekali lagi, kita terus mendesak bagi mewujudkan jabatan ini.

“Cadangan yang dibawa ini adalah holistik, yang penting kita kena usaha sebagai titik permulaan menangani isu kanak-kanak termasuk jenayah terhadap mereka,” katanya.

Terdahulu, Nancy mengadakan lawatan kerja ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di sini, pada Isnin.

Nancy berkata, hasil lawatan itu, beliau mendapati Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan peralatan terkini dan penambahan kakitangan untuk menangani kes-kes jenayah di bawah D11.

Beliau berkata, perbincangan keseluruhan lebih kepada isu kanak-kanak.

“Pihak kementerian akan sentiasa menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak polis yang saling memerlukan terutamanya isu-isu jenayah membabitkan kanak-kanak dan wanita,” katanya.

Sebelum ini, KPWKM bercadang mewujudkan jabatan khas bagi melindungi kanak-kanak termasuk melibatkan isu penderaan dan pengabaian.

Nancy dilaporkan berkata, penubuhan jabatan itu sudah dipersetujui secara prinsipal oleh Kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar juga dilaporkan mengumumkan lantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menangani masalah penderaan dan sosial melibatkan kanak-kanak.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, turut dilaporkan berkata kanak-kanak dan remaja dikenal pasti antara golongan berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental namun isu berkenaan dilihat masih kurang diberi perhatian.

Dr Zaliha mendedahkan, sebelum pandemik COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10 hingga 20 peratus kanak-kanak dan remaja seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental manakala 50 peratus masalah kesihatan mental yang serius bermula pada umur 14 tahun.

Beliau juga menggalakkan anggota kesihatan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu Bantuan Asas Psikologi dalam membantu negara jika berlaku tragedi yang boleh memberi kesan langsung kepada kanak-kanak dan remaja.

Untuk rekod, undang-undang berhubung kesejahteraan kanak-kanak yang terdapat dalam Akta Kanak-Kanak 2001 sedia ada didakwa sudah mencukupi dan mematuhi piawaian antarabangsa.

Akta Kanak-Kanak telah dipinda pada 2021 dan menurut laporan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), undang-undang negara mematuhi konvensyen hak kanak-kanak antarabangsa.

Pada 18 Februari lalu, selebriti dan personaliti TV, Daphne Iking menggesa kerajaan mewujudkan unit khas kanak-kanak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perundangan khusus untuk melindungi hak kanak-kanak.

Saranan itu ditujukan kepada KPWKM selepas melihat keperluan untuk menangani isu penderaan yang serius di pusat pemulihan ketika mengulas mengenai masalah itu.

Author

Pilihan Editor